Megat Panjialam

. إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفّاً كَأَنَّهُم بُنيَانٌ مَّرْصُوص 61.4. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kokoh.

Saturday, October 4, 2014

LAGI AL KISAH MINYAK SUBSIDI RON95 YANG PERLU RAKYAT MALAYSIA BACA


  
RON95

(Baca sampai habis sebelum komen)

1. Saya rasa berserabut membaca polemik mengenai pengurangan subsidi RON95 sebanyak 20 sen. Orang bertanya serabut, orang yang menjawab pun lagilah berserabut. Akhirnya kita lupa beberapa perkara asas dalam polemik ini.

2. Pengurangan subsidi ini adalah sebahagian langkah rasionalisasi yang diumumkan sekian lama. Harga minyak RON97 diapungkan mengikut harga pasaran, sementara subsidi RON95 akan dikurangkan sedikit demi sedikit. Itu strategi yang kerajaan umumkan sebelum ini.



3. Strategi ini diperkenalkan kerana satu saja alasan iaitu untuk membolehkan subsidi disasarkan kepada kelompok yang betul. Apabila kerajaan memberikan subsidi yang tinggi kepada RON95, golongan berada dan mempunyai banyak kereta mendapat subsidi yang lebih berbanding golongan miskin (contoh: mereka yang menggunakan sebuah motorsikal di kampung), yang menjadi sasaran subsidi ini.

4. Apabila kerajaan kurangkan subsidi RON95, wang itu diberikan kepada kumpulan sasar melalui BR1M. Wang BR1M itu sepatutnya digunakan oleh 7 juta penerima untuk bayar subsidi minyak sendiri. Setiap kali letak minyak motorsikal, niatkan subsidi 20 sen yang diterima itu. Kalau BR1M digunakan untuk beli beg tangan, pergi Danok atau kahwin satu lagi, bak kata Nabil, "lu pikirlah sendiri!"

5. Pengurusan subsidi RON95 tidak ada kena mengena dengan kenaikan atau penurunan harga minyak dunia, atau harga minyak kita lebih rendah berbanding di negara-negara jiran. Ia juga tidak ada kena mengena sama ada rakyat patut bersyukur atau pun tidak. Alasannya hanyalah satu iaitu mensasarkan subsidi kepada kelompok yang betul. Selain itu, kesemuanya alasan mengarut.

6. Orang kita faham semua itu. Takkanlah dah ada PhD, Sarjana atau Ijazah dengan CGPA 4.0 tak boleh faham isu semudah itu?

7. Saya perhatikan, apa yang rakyat marah ialah dua perkara. Pertama, kenaikan dibuat secara mengejut. Tiba-tiba harga minyak naik. Maka, adalah yang paranoid beratur panjang di stesyen minyak. Satu tangki kereta, boleh isi 40 liter. Kalau minyak sudah ada separuh, bolehlah jimat RM4 selepas beratur panjang. Sebenarnya banyak cara lagi nak jimat RM4. Berhenti merokok adalah salah satu caranya. Begitu juga dengan berhenti minum teh tarik, roti canai atau nasi lemak; jimat kos penjagaan kesihatan akibat kencing manis dan darah tinggi. Apabila tua nanti jangan menyesal dapat pelbagai penyakit yang kita cipta sendiri!

8. Kedua, rakyat bimbang kenaikan harga barang. Orang Melayu terutamanya adalah golongan makan gaji. Berapalah sangat gaji orang Melayu. "Median" pendapatan rakyat Malaysia ialah RM3,262. Sekiranya tak faham median, mean dan mode, sila google. Penyakit peniaga kita ialah minyak naik 20 sen/liter, dia naikkan teh tarik yang menjadi punca penyakit kencing manis itu pun 20 sen jugak!

9. Melihat perkara ini, saya rasa kerajaan boleh lakukan dua perkara. Satu, oleh kerana proses pengurangan subsidi adalah sesuatu yang akan dilakukan secara berterusan sehingga sampai ke satu tahap yang sesuai, maka elok kerajaan sediakan jadual dan maklumkan kepada awam awal-awal. Contoh: pengurangan 20 sen subsidi pada setiap 1 Jun. Jadi, peniaga dan pengguna tahu awal-awal. Tak adalah orang yang naik minyak apabila harga minyak naik 20 sen.

10. Kedua, oleh kerana peniaga kita dihinggapi penyakit "barang naik" (dulu saya ingatkan "barang tak naik" itu penyakit!), maka eloklah kerajaan mantapkan mekanisme penguatkuasaan atau apa saja langkah bagi membanteras kenaikan harga melampau.

11. Kalau perlu buat pindaan undang-undang, silakan. Kalau perlu tambah pegawai penguatkuasa, silakan. Malah kalau perlu wujudkan sukarelawan (seperti yang dilakukan oleh askar wataniah atau polis bantuan) untuk bantu penguatkuasa sepenuh masa (saya difahamkan pegawai penguatkuasa tak cukup), maka silalah lakukan. Kalau perlu tembak hidup-hidup di tengah padang lapang untuk jadi pengajaran kepada peniaga curang lain, buatlah. Buatlah apa pun untuk kekang kenaikan harga barang.

12. Satu lagi ialah rakyat ingin melihat sebarang penjimatan dari rasionalisasi ini disalurkan kepada perkara-perkara yang menguntungkan rakyat dari segi jangka panjang. Pada tahun ini, kerajaan peruntukan bajet sektor pendidikan RM54.6 bilion, iaitu sektor yang menerima bajet terbesar. Pendidikan telah menjadikan kita semua keluar dari kemiskinan. Malah, MRSM yang melahirkan ramai cendikiawan dan teknokrat Bumiputera hari ini mendapat lebih separuh bajet yang diperuntukkan kepada MARA, sekitar RM6 bilion.

13. Disebabkan pendidikan yang kita dapat dengan subsidi yang cukup besar itulah, maka hari ini kita boleh upload gambar minum di Coffee Beans, gambar handphone baru, gambar makan di Tony's Romas dan gambar kereta baru dalam Facebook. Itu belum lagi kira gambar tiket kapal terbang, siap dengan "seat number." Opps!


14. Sekiranya penjimatan ini disalurkan kepada pendidikan atau bagi membantu kelompok "bottom 40," saya akan sokong sepenuhnya rasionalisasi tersebut. 

No comments :

DISCLAIMER

Blog ini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian blog ini. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Penulis tidak memaksa anda memasuki blog ini dan tidak akan bertanggungjawab jika ada yang tercedera atau tersinggung emosi, atau disaman jika melanggar akta mesin cetak dan lain-lain undang-undang yang berkaitan. Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.