KAMI rakyat Malaysia yang prihatin, berasa bimbang dan amat kecewa dengan
perbalahan berterusan berhubung kedudukan dan amalan undang-undang Islam di
negara ini.
Perbalahan yang berlangsung sekarang ini tidak memberikan
gambaran dan pemahaman yang jelas mengenai kedudukan undang-undang Islam dalam
kerangka demokrasi berparlimen.
Ia juga mencerminkan keruntuhan pembahagian kuasa di antara Kerajaan
Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam bidang perundangan sivil mahupun
perundangan jenayah.
Kami merujuk secara khusus kepada situasi semasa di mana institusi-institusi
agama kelihatan bertindak di luar bidang kuasa mereka, misalnya dengan
mengeluarkan pelbagai fatwa yang
bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan serta tidak menepati
proses demokratik dan proses konsultatif ‘syura’.
Di samping itu, semakin banyak Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) berhaluan kanan
dengan sewenang-wenangnya menuduh pihak-pihak yang berani bersuara sebagai
anti-Islam, anti-institusi Beraja dan anti-Melayu.
Tindakan mereka itu menyukarkan usaha untuk mengadakan perbincangan dan mencari
jalan penyelesaian konflik secara rasional.
Apa yang membimbangkan kami juga ialah penggunaan
Akta Hasutan sebagai alat untuk menggertak dan mendiamkan sesiapa yang
mempunyai pandangan yang berbeza.
Perkembangan ini telah menjejaskan komitmen Malaysia terhadap prinsip-prinsip
demokrasi dan kedaulatan undang-undang, melahirkan sikap tidak bertolak-ansur
dan ketaksuban serta menggugat keamanan dan kestabilan negara.
Kami sebagai Muslim yang moderat berasa amat bimbang dengan kenyataan-kenyataan
yang dikeluarkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir
Baharom terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berhubung dengan hak golongan
transgender berpakaian mengikut identiti mereka.
Beliau dalam kenyataannya menyifatkan tindakan komuniti transgender yang
memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap keesahan peruntukan Seksyen 66
Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 sebagai satu “gelombang tentangan
bentuk baru terhadap Islam” dan merupakan satu cubaan untuk “memesongkan akidah
umat Islam” di Malaysia.
Beliau juga menyatakan bahawa permohonan Sisters in Islam baru-baru ini
berkenaan fatwa mengenai fahaman liberalism dan pluralisme merupakan suatu
“tindakan mengheret institusi Islam untuk dibicarakan di Mahkamah Sivil.”
Kenyataan seumpama ini yang mengapi-apikan keadaan daripada seorang menteri
(dan ini bukan kali pertama) menunjukkan kepada orang ramai bahawa komitmen
perdana menteri memperjuangkan gagasan kesederhanaan (moderation) tidak perlu
diambil berat memandangkan menteri Kabinet sendiri sering memperlekehkannya.
Isu-isu yang kami bangkitkan ini sememangnya sukar untuk ditangani memandangkan
apa-apa berkaitan bangsa dan agama sering dipolitikkan di negara ini. Kami
yakin bahawa perdana menteri memiliki sumber dan kuasa bagi mengetuai proses
perundingan untuk membawa pakar dalam pelbagai bidang, termasuk undang-undang
Islam dan undang-undang perlembagaan serta semua pihak yang terlibat.
Kami merasakan adalah amat penting bagi semua pihak berusaha mencari
penyelesaian kepada konflik yang berpanjangan ini yang telah menjejaskan
hubungan antara kaum, melunturkan keyakinan rakyat terhadap keselamatan dan
perlindungan di bawah undang-undang selain menjejaskan kestabilan negara.
Terdapat pelbagai isu penting yang memerlukan perhatian dan kepimpinan perdana
menteri serta sokongan semua ahli Kabinet dan rakyat Malaysia. Antaranya:
i). Sistem perundangan plural yang telah sekian lama menimbulkan pelbagai
konflik dan pertindihan antara undang-undang sivil dan syariah. Pada hemat
kami, terdapat keperluan segera untuk menilai kembali Undang-undang Jenayah
Syariah di Malaysia. Undang-undang berkenaan yang mengkanunkan pelbagai “dosa
peribadi” sebagai jenayah telah membawa kepada kekeliruan dan percanggahan dari
aspek substantif serta pelaksanaan. Undang-undang ini bercanggah dengan prinsip
perundangan Islam dan melanggar kebebasan asasi manusia serta menceroboh
kehidupan peribadi rakyat.
Pada tahun 1999, Kabinet telah mengarahkan Jabatan Peguam Negara untuk menilai
semula Undang-undang Jenayah Syariah. Walaubagaimanapun, sehingga kini undang-undang
tersebut masih dikuatkuasakan dan telah menyebabkan banyak berlakunya
ketidakadilan, membawa kepada kemarahan orang ramai, perbalahan tentang bidang
kuasa dan hak menuntut semakan kehakiman, dakwaan penyalahgunaan kuasa,
diskriminasi gender serta kematian dan kecederaan yang berpunca daripada
serbuan terhadap kesalahan akhlak (moral policing).Ini menghakis kredibiliti,
proses penggubalan undang-undang, serta keyakinan orang ramai terhadap keadilan
di bawah undang-undang Islam.
ii). Kurangnya kesedaran di kalangan orang ramai, termasuk pemimpin tertinggi,
terhadap aspek perundangan dan had bidang kuasa institusi agama dan pentadbiran
undang-undang Islam di Malaysia. Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang
tertinggi dan mana-mana undang-undang yang digubal, termasuk undang-undang
Islam, tidak boleh bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan,
khususnya perkara berkaitan kebebasan asasi manusia, pembahagian bidang kuasa
di antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri serta prosedur legislatif.Semua Akta,
Enakmen dan undang-undang kecil, termasuk fatwa, adalah tertakluk kepada
peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan terbuka untuk disemak oleh badan
kehakiman.
iii). Perlunya memastikan hak rakyat membahaskan bagaimana agama Islam
digunakan sebagai sumber undang-undang dan dasar awam di negara ini.
Perundangan Islam di Malaysia digubal oleh badan eksekutif dan dilulus oleh
badan perundangan. Sumber undang-undang Islam termasuklah yang suci seperti
Al-Qur’an dan sunnah, serta usaha manusia seperti fiqah dan adat.Proses
penggubalan undang-undang ini melibatkan kebijaksanaan dan keputusan oleh
manusia biasa. Maka ia terbuka untuk dibahaskan supaya matlamat keadilan dapat
ditegakkan.
iv). Perlunya mempertingkatkan kesedaran mengenai kepelbagaian yang wujud dalam
pentafsiran teks dan ilmu feqah. Ini termasuk kaedah-kaedah perundangan yang
memungkinkan reformasi berlaku dan prinsip kesaksamaan dan keadilan ditegakkan,
seiring dengan perubahan kini, khususnya dalam aspek tuntutan,peranan dan
kedudukan wanita dalam keluarga dan masyarakat.
v). Perlunya perdana menteri menekankan kepimpinannya disamping melantik
pemimpin-pemimpin yang berupaya menghidupkan budaya debat dan wacana yang
terbuka dan koheren berhubung dengan pentadbiran undang-undang Islam di negara
ini, ke arah memastikan keadilan. Kami secara khusus menggesa agar pentadbiran
perdana menteri menjelaskan bahawa perbahasan secara rasional dan ilmiah
tentang undang-undang Islam di Malaysia bukanlah satu penghinaan terhadap Islam
dan pihak berkuasa agama di negara ini.
Isu-isu ini mungkin dianggap rumit tetapi apa yang ingin ditekankan ialah, kami
sebagai Muslim berpegang bahawa undang-undang Islam, lebih daripada
undang-undang sivil, perlu mencapai standard tertinggi dalam hal keadilan
kerana ia berdasarkan hukum Allah.
Lantaran itu, mana-mana pihak yang bertindak atas nama Islam menerusi
pentadbiran undang-undang Islam perlu memikul tanggungjawab untuk memastikan
keadilan bukan sahaja dilaksanakan bahkan dilihat ia ditegakkan.
Semasa Islam diwahyukan kepada Rasulullah SAW pada abad ke-7 di tanah Arab, ia
merupakan sesuatu yang amat revolusional dan progresif. Zaman-berzaman, agama
ini menjadi panduan kepada umat Islam meredah cabaran dan rintangan yang
pelbagai.
Sesungguhnya kami yakin dan percaya bahawa bagi memastikan Islam terus kekal
relevan dan universal pada zaman sekarang, maka pemahaman, pengkanunan dan
pelaksanaan ajaran Islam perlulah berkembang seiring dengan peredaran masa.
Hanya dengan cara inilah keadilan, seperti yang dituntut oleh Allah SWT, dapat
disempurnakan.
Yang Benar,
1. Tan Sri Datuk Abdul Rahim Bin Haji Din, bekas Ketua Setiausaha, Kementerian
Dalam Negeri.
2. Tan Sri Ahmad Kamil Jaafar, bekas Ketua Setiausaha, Kementerian Luar Negeri.
3. Tan Sri Dr Aris Othman, bekas Ketua Setiausaha, Kementerian Kewangan.
4. Tan Sri Dr Ismail Merican, bekas Ketua Pengarah, Kementerian Kesihatan.
5. Tan Sri Dato' Mohd Sheriff bin Mohd Kassim, bekas Ketua Setiausaha,
Kementerian Kewangan.
6. Tan Sri Dato' Dr Mustaffa Babjee, bekas Ketua Pengarah, Perkhidmatan
Veterinar.
7. Tan Sri Nuraizah Abdul Hamid, bekas Ketua Setiausaha, Kementerian Tenaga,
Komunikasi dan Multimedia.
8. Tan Sri Dr Yahya Awang, Pakar Bedah Kardiotorasik dan Pengasas, Institut
Jantung Negara.
9. Datuk Seri Shaik Daud Md Ismail, bekas Hakim Mahkamah Rayuan.
10. Datuk Abdul Kadir bin Mohd Deen, bekas Duta.
11. Datuk Anwar Fazal, bekas Penasihat Kanan Serantau, Program Pembangunan
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).
12. Datuk Dali Mahmud Hashim, bekas Duta.
13. Datuk Emam Mohd Haniff Mohd Hussein, bekas Duta.
14. Datuk Faridah Khalid, wakil Suara Wanita.
15. Datuk Latifah Merican Cheong, bekas Penolong Gabenor, Bank Negara.
16. Lt. Jen (B) Datuk Maulob Maamin, bekas Leftenan Jeneral ATM.
17. Datuk Noor Farida Ariffin, bekas Duta.
18. Datuk Ranita Hussein, bekas Pesuruhjaya Suhakam.
19. Datuk Redzuan Kushairi, bekas Duta.
20. Datuk Dr Sharom Ahmat, bekas Timbalan Naib Canselor, Universiti Sains
Malaysia.
21. Datuk Syed Arif Fadhillah, bekas Duta.
22. Datuk Zainal Abidin Ahmad, bekas Ketua Pengarah, Lembaga Perindustrian Kayu
Malaysia.
23. Datuk Zainuddin Bahari, bekas Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian
Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.
24. Datin Halimah Mohd Said, bekas Pensyarah, Universiti Malaya dan Presiden,
Association of Voices of Peace, Conscience and Reason (PCORE).
25. Puan Hendon Mohamad, bekas Presiden Badan Peguam Malaysia.
Sumber
No comments :
Post a Comment