Megat Panjialam

. إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفّاً كَأَنَّهُم بُنيَانٌ مَّرْصُوص 61.4. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kokoh.

Saturday, February 21, 2015

Liwat II : Jude Pereira Dedahkan Diminta Mengaku Ada Konspirasi

Liwat II : Jude Pereira Dedahkan Diminta Mengaku Ada Konspirasi

Portal Malaysia-today hari ini mendedahkan bahawa Pegawai Penyiasat kes liwat II melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, DSP Jude Blacious Pereira pernah cuba diminta untuk membuat satu kenyataan media mengakui bahawa kes berkenaan memang satu konspirasi politik ke atas Anwar.

Dalam artikel yang bertajuk “Jude : I Was Asked To Subvert The Trial” tulisan Raggie Jessy, laman portal itu yang dikendalikan oleh blogger Raja Petra Kamaruddin memaklumkan bahawa Pengerusi badan mencegah jenayah MyWatch R Sri Sanjeevan turut terlibat dalam perkara itu.

Petikan artikel dari blog Malaysia-today.net

Selain Sanjeevan, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dikatakan turut terlibat di dalam perbuatan itu.

Orang yang meminta Jude Pereira membuat kenyataan itu ialah Sanjeevan sendiri dalam satu pertemuan antara mereka di Hotel PJ Hilton.

Pertemuan Dengan Sanjeevan

“Saya bertemu Sanjeevan di kafe di PJ Hilton, dia (Sanjeevan) sedang duduk di sebuah meja dilihat sedang meneliti beberapa dokumen.

“Sebaik saya duduk dengannya, dia memberitahu saya bahawa dia sedang membantu Anwar untuk kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 dan menurutnya PKR memang pasti memenanginya.

“Sanjeevan memaklumkan kepada saya yang pada ketika itu, Anwar sedang berkempen di Ipoh.

“Dia begitu berterus terang, dia meminta adakah saya boleh membuat satu kenyataan media bahawa memang wujud konspirasi dalam siasatan saya ke atas Anwar.

“Sanjeevan turut memberitahu saya bahawa saya akan dijaga dengan baik jika PKR menang,” kata Jude dalam satu kenyataan yang beliau tulis sendiri kepada portal berkenaan.

Jude berkata beliau tidak boleh membuat kenyataan itu kerana siasatan beliau tidak mendapati ada wujudnya sebarang konspirasi.

“Kemudian, dia meminta saya hanya berkata ada campurtangan kerajaan dalam siasatan yang mana turut saya tolak.

“Saya kemudian mencadangkan jika mereka mahu saya membantu, saya boleh memberikan kenyataan bahawa saya menghormati keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Anwar,” kata Jude Pereira.

Menurut Jude dalam kenyataan panjangnya, Sanjeevan kemudian menghubungi Anwar yang juga Ketua Umum PKR dan memaklumkan beliau ada bersama Sanjeevan.

Dia kemudian memberikan telefon kepada Jude dan meminta saya bercakap dengan Anwar.

“Saya hanya mengucapkan semoga Anwar berjaya dalam PRU-13 dan memaklumkan saya tidak boleh membuat kenyataan seperti yang dimahukan tetapi saya hanya akan berkata saya menghormati keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes liwat beliau.

“Anwar menjawab bahawa ia mencukupi untuk saya hanya berkata sedemikian,” kata Jude Pereira.

Selepas itu, Jude Pereira berkata Sanjeevan mencadangkan untuk menulis sesuatu untuk beliau katakan dalam kenyataan media berkenaan dan memaklumkan akan menghubungi pihak media pada waktu pagi jika beliau bersetuju.

Jude Pereira Diminta Pergi Ke Hotel Di KL Sentral

“Sanjeevan kemudian meminta saya untuk pergi ke sebuah hotel yang baru di KL Sentral dan bertemu dengan seseorang yang akan menunjukkan apa yang sudah ditulis bagi pihak saya untuk diberikan dalam sidang media keesokkannya.

“Dia juga memberitahu saya, saya akan dijaga dengan baik di hotel berkenaan dan saya boleh bermalam di situ semuanya sudah dibiayai.

“Oleh kerana ingin melihat sejauhmana perkara itu berlanjutan, saya bersetuju,” kata Jude Pereira.

Menurut beliau, apabila tiba di hotel berkenaan kira-kira pukul 8 malam, beliau bertemu dengan seorang lelaki India Muslim yang berjanggut dan seorang lagi sedang duduk di sebuah meja.

Jude Pereira berkata dia memperkenalkan dirinya dan mengatakan bahawa dia telah bertemu Sanjeevan sebelum itu sebelum diminta bertemu dengan mereka.

“Lelaki berjanggut itu sudah pun siap merangka satu surat dan meminta saya membacanya, jika saya bersetuju mereka akan menghubungi pihak media keesokan paginya.

“Saya terkejut apabila membaca satu petikan kira-kira 100 patah perkataan yang mengatakan bahawa saya adalah Pegawai Penyiasat dan Anwar sebenarnya tidak bersalah dan dia didakwa tanpa sebab yang kukuh serta bukti yang ada direka ke atasnya,” jelas Jude Pereira.

Jude Pereira berkata petikan itu membuatkannya kelihatan bodoh dan memperjudikan integriti ke atas tugasnya sebagai pegawai polis.

“Saya enggan memenuhi permintaan mereka dan terus beredar dari hotel berkenaan,” katanya.

Penglibatan Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan

Menurut Jude Pereira, Musa ada menghubunginya kira-kira seminggu sebelum PRU-13 ketika beliau berada di rumahnya di Ipoh.

Musa meminta Jude untuk menemuinya di rumah di Jalan Gasing, Petaling Jaya jika ada kelapangan.

“Sebelum saya menerima panggilan Musa, seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Sanjeevan, Pengerusi MyWatch ada menghubungi saya beberapa kali tanpa menjelaskan sebab sebenar pertemuan,” katanya.

Pertemuan Dengan Bekas IGP Musa Hassan

“Ketika itu pukul 2.30 petang semasa saya bertemu dengan Musa di rumahnya, kami keluar untuk minum teh di Restoran Lotus yang berhampiran rumah beliau.

“Musa memberitahu saya bahawa beliau kini merupakan Penasigat kepada MyWatch yang mana Sanjeevan ialah Pengerusinya.

“Menurut beliau, Sanjeevan dikaitkan rapat dengan Anwar dan Anwar telah memberitahu Sanjeevan bahawa Anwar mahu bersahabat dengan Musa,” jelas Jude Pereira.

Menurutnya, Musa bertanyakan secara terus kepadanya bahawa sebagai Pegawai Penyiasat kes liwat II, adakah wujud sebarang konspirasi dalam siasatannya.

Beliau agak terkejut dengan pertanyaan Musa kemudian memaklumkan bahawa beliaulah Ketua Polis Negara pada masa itu dan beliau pasti yang Musa juga tahu tiada sebarang konspirasi ke atas Anwar sepanjang siasatan.

“Saya memberitahunya, kenyataan daripada saksi adalah bukti dan bukannya sebahagian daripada konspirasi.

“Musa berkata beliau berpuas hati dengan jawapan saya,” katanya.

Menurut Jude Pereira, Musa sebenarnya mengetahui berkenaan pertemuan beliau dengan Sanjeevan di hotel PJ Hilton kerana Musa ada bertanyakan berkenaanya kemudian.

Beliau dihubungi Musa ketika memandu pulang selepas kejadian di hotel di KL Sentral bertanyakan berkenaan pertemuan dengan Sanjeevan melalui khidmat pesanan ringkas.

“Saya memberitahunya semua yang berlaku dan membalas bahawa saya telah melakukan perkara yang betul dalam memelihara integriti saya,” kata Jude Pereira.

Kes Liwat II

Anwar ketika ini sedang menjalani hukuman penjara selama lima tahun di Penjara Sungai Buloh kerana didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan kira-kira tujuh tahun lepas.

Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari lepas mengekalkan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan pasukan pendakwaan selepas Mahkamah Tinggi melepaskan dan membebaskan Anwar daripada tuduhan itu.

Mahkamah Tinggi dalam keputusannya dalam perbicaraan kes berkenaan membebaskan Anwar dalam pertuduhan itu.

Ketika prosiding 10 Februari lepas, pasukan pendakwaan diketuai oleh Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

- MYNEWSHUB.CC

No comments :

DISCLAIMER

Blog ini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian blog ini. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Penulis tidak memaksa anda memasuki blog ini dan tidak akan bertanggungjawab jika ada yang tercedera atau tersinggung emosi, atau disaman jika melanggar akta mesin cetak dan lain-lain undang-undang yang berkaitan. Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.