Megat Panjialam

. إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفّاً كَأَنَّهُم بُنيَانٌ مَّرْصُوص 61.4. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kokoh.

Monday, April 28, 2014

KEMPEN DONG ZONG SEMAKIN BERBAHAYA.


Persatuan putar belit fakta PPPM, cuba politikkan isu kelas bahasa Malaysia

Kempen tandatangan yang dilakukan Dong Zong iaitu Gabungan Persatuan Pengelola Sekolah Cina Malaysia untuk membantah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, adalah tindakan yang menjijikkan. Ia juga memperlihatkan betapa 'bebalnya' gabungan ini yang tidak dapat melihat kebaikan pada beberapa usaha dalam PPPM.

Dong Zong mendakwa PPPM mempunyai agenda tersirat untuk menghapuskan pendidikan vernakular Cina. Hal ini disandarkan penelahannya yang dipersepsikan sebagai memiliki unsur yang menidakkan fenomena kepelbagaian bahasa dalam sistem pendidikan negara.

Dalam pada itu, Dong Zong mencemuh PPPM sebagai menganjurkan asimilasi kaum, melalui pelaksanaan dasar untuk mewujudkan persekolahan satu aliran sahaja.

Sebenarnya semua tuduhan Dong Zong tak berasas. Ia tidak dibicarakan dalam PPPM. Hanya penelahan Dong Zong yang disarati prasangka dan konsepsi salah itu mengherotkan fahamannya bahawa semua ini wujud sebagai agenda tersembunyi dalam PPPM.

Usaha memperbaiki tahap pengetahuan dan penguasaan bahasa Malaysia untuk murid tahap dua iaitu Darjah Empat sehingga Darjah Enam, dengan menambah masa pembelajaran dari 180 minit ke 270 minit seminggu bukan sahaja ditolak, malah ia diputarbelitkan sehingga menimbulkan tentangan daripada kaum Cina, bahawa ia akan menjejaskan sifat sekolah vernakular Cina.

Kelas pemulihan pelajar lemah

Dalam hal ini, jumlah peningkatan masa yang dihebohkan Dong Zong kepada khalayak ialah 570 minit seminggu. Jumlah ini mencampurkan 270 minit untuk kelas biasa dalam waktu pendidikan, dengan kelas pemulihan maksimum 300 minit yang dilakukan di luar waktu pendidikan.

Kelas pemulihan ini adalah untuk murid tahap dua di sekolah jenis kebangsaan misalnya Darjah Empat, yang didapati lemah dalam bahasa Malaysia. Ia diadakan sebagai langkah pembaikan dan tidak mengambil lebih daripada tiga bulan dalam sesi persekolahan sepanjang tahun.

Pada kebiasaannya, kelas begini antara seorang guru dengan lima murid pada kadar maksimum diadakan minimum 120 minit dan maksimum 300 minit seminggu. Ia sebenarnya membabitkan murid yang langsung tidak boleh membaca dan menulis dalam bahasa Malaysia.

Tiada penjelasan lanjut

Justeru, bukan sahaja tidak tepat untuk Dong Zong menonjolkan jumlah 570 minit sebagai membabitkan semua murid, ia amat mengelirukan dengan tiada penjelasan baik tentang jumlah maksimum 300 minit yang dikenakan kepada sebilangan murid sahaja.


Niat murni kerajaan memberi pemulihan kepada murid Cina bukan sahaja tidak dihargai, malah diselewengkan sehingga menimbulkan rasa tegang antara kaum Cina dengan kerajaan.

Sehubungan itu, ke mana perginya rasa tanggungjawab Dong Zong kepada kaum Cina selaku pelindung dalam bidang pendidikan? Sepatutnya dua kelas ini diterima untuk kebaikan murid Cina yang lemah dalam bahasa Malaysia, agar tidak keciciran apabila berada di sekolah menengah. Ini kerana bahasa Malaysia bahasa pengantar utama.

Sebaliknya Dong Zong bukan sahaja gagal menghargainya, malah mempolitikkannya dengan meminta parti pembangkang mengecam PPPM. Dalam hal ini, Dong Zong sama sekali tidak tahu kegunaan 270 dan 300 minit seminggu ini, apatah lagi memanfaatkannya untuk kebaikan kaum Cina.

Oleh sebab maklumat yang diherotkan ini, kaum Cina bukan sahaja melenting tetapi menyokong Dong Zong untuk membantah PPPM. Ini dilakukan bukan sahaja dengan menandatangani bantahan PPPM, malah diiringi cemuhan terhadap kerajaan.

Penjelasan mengenai jumlah masa ini, sama ada 270 minit atau 300 minit ini perlu diberi oleh kerajaan kepada kaum Cina agar mereka memahami tujuan baiknya. Sebagai kelompok yang pragmatik, mereka pasti dapat menilai kebaikan usaha ini.

Dengan ini, kaum Cina tidak boleh menyokong Dong Zong dalam hal ini. Jangan turunkan tandatangan untuk membantah PPPM. Sebaliknya, PPPM perlu disokong sepenuhnya oleh semua pihak. PPPM memenuhi semua aspek pendidikan untuk semua pihak.

Teo Kok Seong
Penulis ialah Profesor Linguistik di Universiti Kebangsaan Malaysia
Berita Harian

No comments :

DISCLAIMER

Blog ini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian blog ini. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Penulis tidak memaksa anda memasuki blog ini dan tidak akan bertanggungjawab jika ada yang tercedera atau tersinggung emosi, atau disaman jika melanggar akta mesin cetak dan lain-lain undang-undang yang berkaitan. Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.