Megat Panjialam

. إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفّاً كَأَنَّهُم بُنيَانٌ مَّرْصُوص 61.4. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kokoh.

Sunday, April 13, 2014

Memahami Realiti Kenaikan Harga Barang


Hakikat bahawa harga barang naik memang ada kebenarannya. Kenaikan harga barang menyebabkan berlakunya kenaikan kos sara hidup. Ramai yang menyalahkan kerajaan terutamanya pembangkang. Tujuan mereka adalah untuk mengelirukan rakyat demi kepentingan politik mereka. Demikian juga sikap sesetengah pengendali media sosial yang sengaja membesar-besarkan isu ini secara berlebihan tanpa melihat faktor-faktor lain berdasarkan sudut pandang ilmu ekonomi.

Pembangkang menuduh kenaikan harga barang adalah disebabkan rasionalisasi subsidi, penghapusan subsidi gula dan kenaikan takrif elektrik. Walaupun kita tidak menafikan faktor terbabit sedikit sebanyak memberi kesan tetapi kesannya terhadap kenaikan harga barang adalah terlalu minima. Justeru, kita harus melihat isu kenaikan harga barang dari pelbagai sudut ekonomi termasuk kaitannya dengan ekonomi global.

Mereka yang bersikap rasional akan berlaku adil dalam soal kenaikan harga barang ini. Negara kita bukan berada di luar lingkungan ekonomi dunia. Kita adalah negara yang berada dalam kitaran ekonomi global dunia. Justeru, apa juga yang berlaku pada ekonomi dunia maka kita tetap merasainya.

Ketika ekonomi dunia berkembang secara positif maka kita akan merasai kesan kemakmuran ekonomi. Sebaliknya ketika ekonomi dunia bermasalah maka kesan negatifnya tetap dirasai.

Ada beberapa punca yang menyumbang kepada kenaikan harga barang hari ini. Antaranya berlaku situasi di mana pengeluaran barangan keperluan terhad tidak dapat menampung keperluan pengguna. Contohnya, hasil tangkapan ikan yang terhad dalam musim tengkujuh menyebabkan harga ikan menjadi mahal untuk beberapa bulan.

Demikian juga harga sayur-sayuran boleh menjadi mahal disebabkan faktor cuaca. Namun, harga barangan seperti ini akan kembali turun dan stabil apabila keadaan cuaca kembali normal.

Permintaan mendadak pada musim perayaan utama juga boleh menyebabkan harga sesuatu barang keperluan naik. Dalam musim perayaan besar seperti Hari Raya Aidilfitri, Deepavali dan Krismas permintaan ke atas barang tertentu akan meningkat kerana pengguna memerlukan lebih banyak barang keperluan pada musim perayaan. Ini boleh menyebabkan berlakunya kekurangan barang dan mempengaruhi kenaikan harga barang.

Namun, dalam perayaan Tahun Baru Cina baru-baru ini kerajaan berjaya mengawal kenaikan harga barang yang diperlukan oleh masyarakat Cina.

Sayugia diingat bahawa sistem ekonomi Malaysia adalah sistem ekonomi pasaran bebas yang lebih hampir kepada sistem ekonomi campuran (Kapitalis dan pasaran bebas). Dalam konteks ekonomi bebas, pengaruh pasaran memainkan peranan penting dalam penentuan harga. Namun, kerajaan masih mempunyai kuasa kawalan dalam aspek tertentu. Antaranya memastikan bekalan barang barang keperluan mencukupi dengan harga berpatutan.

Isu dalam yang sering berbangkit ialah sikap segelintir peniaga yang mementingkan keuntungan semata-mata (tamak haloba) yang bertindak memanipulasi dan menaikkan harga barang adalah antara punca kenaikan harga barang. Golongan peniaga ini adalah kelompok peniaga yang tidak beretika dalam perniagaan.

Peniaga yang tamak haloba ini adalah peniaga yang tidak berperikemanusiaan dan bertimbang rasa terhadap kesusahan rakyat. Golongan terbabit bukan sahaja tidak menghiraukan Rukuniaga Malaysia dan Kod Etika Amalan Perniagaan (KEAP) yang telah diperkenalkan oleh Majlis Penasihat Perlindungan Pengguna Kebangsaan (MPPPK) tetapi juga tidak menghiraukan akta-akta berkaitan perniagaan di negara ini.

Kita bimbang mungkin ada agenda politik di sebalik kerakusan mereka menaikkan harga barang. Apa pun, kerajaan tidak berpeluk tubuh dalam isu kenaikan harga barang. Pelbagai langkah diambil kerajaan untuk mengawal situasi termasuk melaksanakan penguatkuasaan yang tegas.

Melalui bahagian penguatkuasa KPDNKK kerajaan berusaha nmmastikan bekalan barang keperluan mencukupi dengan harga berpatutan. Sejak Julai 2013 bahagian penguatkuasa KPDNKK telah menggerakkan operasi bagi menangani kenaikan harga barang dan caj perkhidmatan dalam pasaran.

Sepanjang tempoh 6 Julai sehingga 31 Disember 2013 jumlah pemeriksaan yang dijalankan ialah sebanyak 484, 506 dan jumlah tindakan kes ialah sebanyak 3, 776. Selain itu, jumlah rampasan bernilai RM1, 101,268.56 dan nilai kompaun pula sebanyak RM340,880.

Pada tahun 2014, bermula 1 Januari sehingga kini Bahagian Penguatkuasa KPDNKK telah menggerakkan operasi yang sama bagi menangani kenaikan harga barang dan caj perkhidmatan yang tidak berpatutan. Penekanan bagi Ops kali ini adalah kepada tindakan terhadap kegiatan pencatutan (profiteering) oleh peniaga. Pengguatkuasaan secara tindakan tegas dilaksanakan dalam Ops ini dengan mengeluarkan notis di bawah seksyen 21 Akta Kawalan Harga & Anti Pencatutan 2011.

Selain itu kerajaan turut melaksanakan beberapa langkah bagi mengatasi isu kenaikan harga barang seperti berikut:-
• Penubuhan Jawatankuasa Khas untuk menangani kos sara hidup rakyat yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 15 Jan 2014.
• Tindakan pendakwaan di mahkamah terhadap peniaga dan syarikat yang gagal mematuhi peraturan yang diperuntukkan.
• Menjalankan kerjasama dengan pihak pembekal dan NGO serta agensi kerajaan lain yang ada kaitan dengan usaha ini.
• Mengambil tindakan tegas melalui Akta Persaingan 2010.

Cadangan kerajaan untuk memberikan pengiktirafan kepada mana-mana pasaraya atau peniaga yang menawarkan harga berpatutan seperti yang disebut oleh Tan Sri Muhyiddin harus dilaksanakan segera. Mana-mana peniaga yang tidak beretika atau menyalahi undang-undang berkaitan perniagaan mesti dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi.

Penulis mencadangkan nama kedai atau syarikat mereka yang melakukan kesalahan serius mesti dipaparkan di media massa sebagai peniaga yang tidak beretika.

Usaha kerajaan untuk mengawal harga barang dan meminimumkan kesannya sepatutnya disokong oleh semua pihak termasuk pembangkang. Adalah tidak wajar kita mengambil sikap yang boleh memburukkan lagi keadaan. Keadaan kita tidaklah seburuk beberapa negara lain di mana kos sara hidupnya lebih tinggi daripada kita.

Sentiasa amalkan pesanan Rasulullah SAW seperti maksud hadis diriwayatkan Abu Hurairah, “Lihatlah orang yang lebih rendah (juga lebih susah) daripada kamu dan janganlah melihat yang lebih atas darimu. Demikian itu lebih baik untuk tidak meremehkan nikmat-nikmat Allah kepadamu”.

Sayugia diingat bahawa walaupun kerajaan mempunyai agensi penguatkuasaan, namun tanpa kerjasama pengguna maka isu kenaikan harga barangan sukar diatasi. Pengguna jangan asyik menunding jari kepada agensi kerajaan semata-mata.

Pengguna hendaklah bertindak dengan menggunakan “kuasa pengguna”. Antaranya memilih kedai yang menawarkan harga berpatutan, memboikot barang yang terlalu mahal dan membuat aduan kepada pihak berkuasa.

Selain itu rakyat, terutamanya mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah perlu lebih bijak mengurus pendapatan serta mengelakkan hutang. Mereka juga perlu kreatif dalam menambahkan pendapatan secara halal sama ada halal dari segi agama mahupun halal dari segi undang-undang.

Sesungguhnya Nabi pernah ditanya tentang pekerjaan yang baik. Baginda menjawab, “Pekerjaan seorang lelaki dengan tangannya sendiri dan setiap jual beli yang baik”.

Mungkin perniagaan atas talian (on line) adalah cara yang boleh dipraktikkan. Pendapatan yang diperoleh melalui perniagaan cara ini sedikit sebanyak dapat meringankan kos sara hidup. Jika bernasib baik ia boleh membawa keuntungan yang besar kepada peniaga terbabit.

Satu lagi kaedah ialah melalui jualan car boot sales yang juga boleh memberikan pendapatan tambahan kepada mereka yang mahu berusaha menambah pendapatan.

Untuk jangka masa panjang kerajaan wajar melaksanakan beberapa langkah yang dapat membantu mengawal kenaikan harga barang. Langkah menghapuskan monopoli dalam perniagaan adalah satu pendekatan berkesan dalam menangani isu kenaikan harga barang.

Dalam pasaran sering wujud satu pihak memonopoli sesuatu barang menyebabkan mereka berkuasa menaikkan harga barangan sesuka hati walaupun barang terbabit tersenarai sebagai harga kawalan.

Usaha meningkatkan peranan koperasi secara berkesan dan menyeluruh adalah satu lagi cara terbaik dalam mengawal harga barang terutama barang keperluan harian seperti makanan pada harga yang berpatutan. Tidak ada maknanya jika kita mempunyai begitu banyak koperasi tetapi tidak berupaya membantu menangani isu penting yang dihadapi rakyat ini.

Kita tidak mahu koperasi di negara ini lebih dikenali sebagai pemberi pinjaman dan bukannya berperanan aktif dalam rantaian bekalan. Justeru, kementerian dan agensi berkaitan harus berbuat sesuatu bagi menjadikan koperasi di negara ini berperanan lebih aktif dalam membekalkan makanan dan barangan keperluan. Cara ini juga dapat memecahkan monopoli oleh pihak-pihak tertentu.

Kerajaan juga harus mempunyai strategi jangka panjang dalam isu pembekalan barang makanan. Transformasi dalam bidang pertanian dan penternakan seperti yang dirancang kerajaan mesti benar-benar dilaksanakan supaya negara mengeluarkan hasil makanan secara besar-besaran.Ini penting supaya harga bahan makanan dari pertanian dan penternakan menjadi lebih murah dan sekali gus dapat menjamin dasar ‘food security’ negara.


Pengeluaran hasil pertanian termasuk memajukan sektor perikanan secara besar-besaran menjadikan negara tidak terlalu bergantung kepada negara luar. Usaha ini juga akan dapat menstabilkan harga makanan serta dapat mengurangkan kemerosotan mata wang negara kesan daripada terlalu banyak mengimport barang dari luar.



No comments :

DISCLAIMER

Blog ini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian blog ini. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Penulis tidak memaksa anda memasuki blog ini dan tidak akan bertanggungjawab jika ada yang tercedera atau tersinggung emosi, atau disaman jika melanggar akta mesin cetak dan lain-lain undang-undang yang berkaitan. Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.