Megat Panjialam

. إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفّاً كَأَنَّهُم بُنيَانٌ مَّرْصُوص 61.4. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kokoh.

Thursday, August 27, 2015

Lima (5) perkara Najib perlu lakukan sekarang - Dr Chandra Muzaffar




MELIHAT pada keadaan yang berlaku di negara kita sekarang, adalah penting sekiranya kita lihat semula kuasa yang berkaitan dengan Perdana Menteri Malaysia.

Ini kerana sikap terhadap kuasa ini adalah perkara utama dalam kontroversi yang melanda negara kita pada masa ini.

Tidak ramai yang tahu bahawa Perdana Menteri pertama kita, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, berundur daripada jawatannya sebagai Perdana Menteri untuk tempoh tiga bulan pada 1959 kerana ingin memperkukuhkan partinya, iaitu Perikatan, sebagai persediaan menghadapi Pilihanraya Persekutuan selepas parti berkenaan tewas di dua negeri, Kelantan dan Terengganu, dalam Pilihan Raya Negeri yang ketika itu diadakan sebelum pilihan raya di peringkat pusat.

Kesediaan Tunku untuk berundur adalah satu tindakan luar biasa dan ia menunjukkan bahawa beliau tidak mementingkan kedudukannya.

Tunku menegaskan bahawa adalah salah baginya untuk terus menerima ganjaran sebagai Perdana Menteri ketika sedang memberi tumpuan kepada tugas-tugas parti.

Beberapa tahun kemudian, berikutan kekalahan Perikatan dalam Pilihanraya Umum 1969, yang diikuti dengan kritikan yang semakin memuncak berhubung kepimpinannya, Tunku memutuskan untuk meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno, parti utama dalam Perikatan.

Beliau memilih untuk tidak terus memegang pada kuasa.

Pengganti Tunku, Tun Abdul Razak, berkuasa penuh selaku Pengarah Majlis Gerakan Negara (Mageran), yang ditubuhkan untuk memulihkan keadaan berikutan rusuhan kaum 13 Mei.

Tanpa meneruskan kuasa di bawah pemerintahan Mageran – di mana beliau boleh lakukan – Razak dan pemimpin lain berjaya memulihkan pemerintahan demokrasi berparlimen.

Ternyata bahawa Razak lebih cenderung kepada kuasa demokratik walaupun kuasa itu lebih terhad  berbanding dengan kuasa besar di bawah pemerintahan mutlak.

Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn, memerintah selama lebih lima tahun dan terpaksa berundur berikutan masalah kesihatan. Kesediaannya untuk berundur difahami dan disanjungi oleh rakyat.

Berbanding Perdana Menteri sebelumnya, Tun Dr. Mahathir Mohamad, bagaimanapun memerintah lebih lama.

Beliau menjadi Perdana Menteri untuk tempoh selama 22 tahun, namun beliau juga melepaskan jawatannya dengan rela hati. Penyerahan kuasa kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi dilakukan dengan lancar.

Abdullah berkhidmat hanya selama lima tahun, empat bulan. Kegagalan Barisan Nasional yang memerintah untuk mengekalkan majoriti di Parlimen dan kekalahan di lima negeri menyebabkan agak sukar bagi Abdullah meneruskan pemerintahan sebagai Perdana Menteri.

Lalu beliau memilih untuk melepaskan jawatan yang tertinggi itu dengan cara yang terhormat. Ketika berkuasa, beliau mewujudkan lebih banyak ruang untuk rakyat menyuarakan perbezaan pendapat dan ini dipermudahkan oleh media baru.

Dalam demokrasi, perbezaan pendapat sememangnya dibenarkan.

Penggantinya, Datuk Seri Najib Razak melakukan beberapa reformasi demokrasi menerusi Akta Perhimpunan Aman dan meminda Akta Penerbitan dan Percetakan serta Akta Universiti Kolej Universiti.

Beliau juga melakukan apa yang perdana menteri sebelumnya tidak berani melakukan.

Beliau memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dengan peruntukan untuk menahan tanpa perbicaraan dan beberapa peruntukan Darurat yang lain pada September 2011.

Dengan melakukannya, beliau mengurangkan kuasa eksekutif untuk mendominasi dan mengawal rakyat. Najib dilihat sebagai bertindak untuk mengurangkan kuasa besar yang ada padanya.

Namun dalam tempoh beberapa bulan yang lepas berikutan kontroversi besar yang berkaitan integriti dan kejujuran, Najib mempamerkan sikap bahawa beliau akan terus memegang kuasa yang ada padanya tidak kira apa yang berlaku.

Ketika beliau sepatutnya memudahkan usaha serta mempercepatkan penyiasatan mengenai 1MDB, sebaliknya beliau menggugurkan dua rakan Kabinetnya – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seorang lagi menteri, Datuk Seri Shafie Apdal – berikutan suara mereka yang paling kuat  dalam menuntut Kabinet menunaikan janji untuk mendedahkan kepada umum cerita sebenar mengenai 1MDB.

Najib dan penyokongnya juga menganggu tugas beberapa agensi yang diamanahkan untuk mendedahkan operasi syarikat milik kerajaan itu, dengan memecat bekas Peguam Negara Tan Sri Gani Patail; memindahkan dan mengancam pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM); menyiasat kakitangan Bank Negara; dan melumpuhkan Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) dengan melantik empat daripada anggotanya sebagai menteri dan timbalan menteri. 

Apa yang lebih menimbulkan kemarahan sebahagian besar rakyat adalah ketidakmampuannya untuk memberi penjelasan sejujur mungkin mengenai wang tunai berjumlah RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya pada 2013.

Beberapa cubaan lucu oleh rakan-rakan Perdana Menteri bagi mewajarkan kemasukan jumlah sebesar itu ke akaunnya sebagai derma yang digunakan untuk Umno dan BN atau sebagai penghargaan terhadap dasar-dasar kerajaan Malaysia daripada keluarga kaya tertentu di negara Arab telah menyebabkan kredibilitinya terjejas.

Ternyata bahawa kredibiliti Najib kini semakin tercalar. Keyakinan rakyat terhadapnya sudah sampai ke tahap paling rendah. Terdapat jurang keyakinan yang besar di antara beliau dan orang ramai.

Justeru, bagi memulihkan keyakinan rakyat beliau sepatutnya:

1) Bersikap jujur dan terbuka mengenai kedua-dua 1MDB – di mana beliau menjadi Pengerusi Lembaga Penasihatnya – dan wang yang berada di dalam akaunnya. Sebilangan orang sudah pun membuat gesaan ini beberapa kali.

2) Menyeru dengan secara terbuka agar Ketua Audit Negara menyelesaikan penyiasatan secepat mungkin dan tidak menunggu sehingga Disember.

3) Membolehkan PAC meneruskan tugasnya dengan serta-merta dengan mengisikan kekosongan dalam jawatankuasa itu tanpa berlengah lagi.

4) Memberi sokongan sepenuhnya kepada pegawai SPRM dalam menyiapkan siasatan tanpa takut atau menyebelahi mana-mana pihak.

5) Mengisytiharkan dengan terbuka bahawa memandangkan Bank Negara telah menyerahkan hasil penyiasatannya kepada Peguam Negara dan berharap agar beliau bertindak ke atas perakuannya, Peguam Negara hendaklah bertindak dengan kadar segera. Peguam Negara hendaklah juga bertindak dengan berani berdasarkan perakuan SPRM dan PAC apabila tiba masanya.

Sekiranya Perdana Menteri tidak bertindak secara jujur dan berintegriti dan keadaan menjadi semakin teruk dengan kesan yang melanda ekonomi dan politik, gesaan agar beliau meletakkan jawatan yang kini pun sudah semakin kuat didengar dijangka menjadi bertambah kuat lagi tidak lama lagi.


oleh : Dr Chandra Muzaffar

~ CG

No comments :

DISCLAIMER

Blog ini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian blog ini. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Penulis tidak memaksa anda memasuki blog ini dan tidak akan bertanggungjawab jika ada yang tercedera atau tersinggung emosi, atau disaman jika melanggar akta mesin cetak dan lain-lain undang-undang yang berkaitan. Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.