Megat Panjialam

. إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفّاً كَأَنَّهُم بُنيَانٌ مَّرْصُوص 61.4. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kokoh.

Wednesday, April 10, 2013

Lantang kritik Pas, Pondok Geting disita MDT



Dua puluh empat jam selepas Persidangan Pondok Ulama Pondok, Sekolah Agama Rakyat dan Tahfiz mengeluarkan deklarasi bahawa haram bagi umat Islam mengundi Pas dalam pilihan raya umum nanti, Kerajaan Pas Kelantan bertindak menyita Pondok Geting di sini.

Tindakan sita terhadap Pondok Geting yang diasaskan oleh tokoh agama, Abdullah Sa'amah itu dibuat oleh Majlis Daerah Tumpat (MDT) atas dakwaan membina bangunan tanpa kebenaran Yang Dipertua pihak berkuasa tempatan berkenaan.

Bagaimanapun, tindakan yang dibuat oleh MDT itu mencetuskan persoalan kerana bangunan tambahan yang dibina dalam kawasan pondok tersebut sebenarnya mengikut prosedur ditetapkan.

Malah pada masa yang sama, poster palsu yang menyatakan Abdullah adalah calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor ditampal pada batang pokok kelapa dan wakaf sekitar kawasan itu.

Abdullah yang ditemui di sini hari ini berkata, kedua-dua tindakan tersebut dipercayai bermotifkan politik kerana kelantangan beliau menentang Pas di atas pentas ceramah di seluruh negara.

Beliau bagaimanapun menegaskan, tidak gentar sama sekali dengan fitnah dan tekanan yang dibuat oleh Pas itu, malah akan meneruskan perjuangannya menyedarkan umat Islam mengenai perjuangan palsu Pas.

"Ini hanya keputusan politik untuk memberi tekanan kepada saya supaya berhenti berceramah, saya tidak hendak buat apa-apa, cuma hendak baca surah Yasin dan solat hajat supaya masalah ini dapat diselesaikan dan mereka yang terlibat diberikan hidayah.

"Saya berjuang atas UMNO dengan ikhlas dan akan berusaha bagi memastikan Barisan Nasional mengambil alih semula pentadbiran negeri ini, jadual ceramah saya akan diteruskan seperti biasa, pada 14 April ini saya akan berada di Kedah," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Abdullah memberitahu, MDT turut mengeluarkan saman semalam ketika beliau berada di Gurun, Kedah dengan memberi tawaran kompaun sebanyak RM500 kerana kesalahan membina bangunan tanpa kebenaran.

Katanya, sebelum itu pihak berkuasa tempatan tersebut telah menghantar empat notis amaran sejak Februari lalu.

"Bangunan lima tingkat ini dibina hasil sumbangan Kerajaan Pusat yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dahulu.

"Kita mengikut prosedur yang ditetapkan, malah ketika surat amaran yang pertama dihantar saya bertanya kepada penguat kuasa terbabit untuk apa surat ini, dia hanya berkata tidak ada apa-apa, boleh teruskan pembinaan.

"Tetapi hari ini apabila pegawai Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) ke MDT untuk bertanya mengenai saman tersebut, isu lain pula timbul. MDT menjelaskan bangunan tersebut akan hanya boleh diteruskan sekiranya mendapat persetujuan daripada 12 orang pemiliknya," kata beliau.



Artikel Penuh:Utusan


No comments :

DISCLAIMER

Blog ini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian blog ini. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Penulis tidak memaksa anda memasuki blog ini dan tidak akan bertanggungjawab jika ada yang tercedera atau tersinggung emosi, atau disaman jika melanggar akta mesin cetak dan lain-lain undang-undang yang berkaitan. Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.