Peluang Tan
Sri Abdul Khalid untuk mempertahankan jawatannya sebagai Menteri Besar Selangor
pada penggal hadapan jika Pakatan Rakyat (PR) menang di negeri itu dilihat agak
tipis. Walaupun Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dikhabarkan
tidak bertanding pada mana-mana kerusi Dun dalam Pilihan Raya Umum ke-13
(PRU13) nanti, tetapi laluan yang perlu ditempuhi Abdul Khalid itu masih lagi
sukar.
Ketua Cabang PKR Kuala Selangor itu perlu
berdepan dengan Mohamed Azmin Ali jika Timbalan Presiden PKR yang juga
Pengerusi PKR Negeri itu bertanding kerusi Dun di Selangor. Penganalisis
politik, Prof Datuk Dr Zainal Kling berpendapat, kedudukan Abdul Khalid
terancam kerana Azmin mungkin bakal memegang jawatan nombor satu di negeri itu
jika beliau ‘diturunkan’ sekali lagi pada mana-mana kerusi Dun di Selangor.
“Abdul Khalid mempunyai masalah dari segi
ikatan antara Azmin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim (Ketua Umum PKR). “Beliau juga
gagal (mentadbir Selangor) apabila banyak perkara tidak dapat diselesaikan. Ibu
tunggal dan pengguna air banyak menentangnya (sehingga kes dibawa ke
mahkamah),” katanya kepada media.
Menurutnya, pengunduran Dr Wan Azizah daripada
bertanding pada PRU13 disifatkan bukan menyekat kemaraan Azmin menjadi menteri
besar, sebaliknya ia lebih kepada untuk ‘mengabui’ mata rakyat terhadap tuduhan
PKR mengamalkan nepotisme (melebihkan keluarga), dilemparkan pihak tertentu.
Dalam pada itu, Zainal berkata, jika Azmin menjadi menteri besar, maka semua
‘krisis’ yang pernah dikaitkan antara beliau dan Abdul Khalid selesai.
“Selepas itu, yang jadi krisis bukan lagi
mereka, sebaliknya berlaku krisis suami isteri antara Anwar dan Wan Azizah,”
katanya. Sementara itu, penganalisis dari Universiti Teknologi Mara (UiTM),
Prof Madya Dr Ismail Sualman turut sependapat dengan Zainal bahawa peluang
Abdul Khalid untuk mengekalkan kedudukannya sebagai menteri besar masih lagi
samar.
“Kita lihat dulu sama ada beliau bertanding
satu atau dua tempat. Kalau beliau bertanding Dun, Abdul Khalid ada peluang
untuk jadi MB. “Tapi kalau hanya bertanding di (Parlimen) Bandar Tun Razak,
secara automatik Abdul Khalid gugurlah (daripada menjadi MB),” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan sama ada Abdul Khalid akan kekal
sebagai menteri besar atau tidak turut bergantung kepada majoriti jumlah kerusi
yang dimenanginya berbanding rakan komponennya, Pas dan DAP.
“Dalam politik apa pun boleh berlaku. Abdul
Khalid mungkin akan pertahankan (Dun) Ijok walaupun trek rekod tidak baik di
kawasannya. “Kalau beliau pergi (bertanding) ke (Dun) Pelabuhan Klang, orang
semua tidak kenal dia. Beliau dia anak jati Kuala Selangor dan lebih elok dia
bertanding di kawasannya,” katanya. Sebelum ini, terdapat desas-desus
menyatakan bahawa Abdul Khalid akan berpindah ke Dun lain memandangkan beliau
dikatakan tidak dapat meluangkan banyak masa di kawasannya kerana tugasnya
sebagai menteri besar.
No comments :
Post a Comment