Kata
Gabenor Bank Negara asas (fundamental) ekonomi negara kukuh, jadi kenapa nilai
Ringgit Malaysia (MYR) jatuh? Adakah kerana pentadbiran Datuk Seri Najib Tun
Razak atau ada sebab lain?
2.
Jika kita melihat pergerakan nilai ringgit sejak Januari 2009, nilai ringgit
ketika itu adalah RM 3.70 kepada 1 Dollar Amerika (USD). Pada Januari 2010,
nilai ringgit meningkat kepada RM 3.30. Peningkata nilai ringgit hampir
mencecah RM 2.90 pada Julai 2012 dan nilai ini turun naik di antara RM 3.20 ke
RM 2.95 sepanjang tempoh Januari 2012 sehingga Julai 2014, sebelum turun kepada
RM 3.20 pada penghujung tahun 2014 seterusnya kepada RM 3.70 pada Mac 2015.
Sejak tahun 2009 sehingga hujung tahun 2014, nilai ringgit adalah kukuh
berbanding USD, tetapi ketika kenaikan, kenapa ia tidak pernah dikaitkan dengan
Datuk Seri Najib?
3.
Adakah hanya ringgit merosot? Jika dibuat perbandingan antara matawang negara
lain dengan USD di sepanjang tempoh 1 Februari 2014 sehingga 25 Mac 2015,
didapati bukan sahaja nilai ringgit jatuh, malah nilai Yen Jepun (JPY), EURO
(EUR), Yuan China (CNY), Pound Great Britain (GBP), Dollar Australia (AUD),
Dollar Singapura (SGD), Won Korea (KRW), Bath Thailand (THB), Peso Filipina
(PHP), Rupee India (INR), Rupiah Indonesia (IDR) dan Dollar Taiwan (TWD) juga
merosot. Najib, UMNO, BN dan 1MDB tiada di negara-negara ini tetapi kenapa
nilai matawang negara-negara ini masih jatuh? Jawapan - nilai matawang
negara-negara ini jatuh disebabkan kekukuhan nilai Dollar Amerika itu sendiri.
4.
Adakah ringgit jatuh kerana penarafan yang diberi oleh Agensi Penarafan seperti
Standard & Poor (S&P), Moody dan Fitch? S&P memberi penarafan
A(-)ve yang memberi maksud stabil, Moody memberi penarafan A3 yang bermaksud
positif dan Fitch memberi penarafan A(-)ve yang bermaksud situasi ekonomi boleh
mempengaruhi kewangan. Trading Economics (TE) memberi status stabil kepada
Malaysia. Finance for Australian Exporters (EFIC) memberi komen berikut,
"Malaysia enjoys a solid investment grade by credit rating agencies and
has an OECD country credit grade of 2 (equivalent to the UAE, China and
Lithuania)." Bagi agensi penarafan dan IMF, defisit perbelanjaan negara
yang semakin berkurangan daripada 6.7% kepada 3.2% pada tahun 2015, ekonomi
yang pelbagai dan pergantungan yang berkurangan kepada hasil minyak,
rasionalisasi subsidi dan pelaksanaan GST memberi keyakinan tentang kestabilan
ekonomi, kewangan dan potensi Malaysia.
5. Jika bukan kerana agensi penarafan, kerana
apa? Ringgit boleh jatuh akibat berita buruk, khabar angin dan spekulasi. Salah
satu sebab kenapa ringgit jatuh adalah kerana spekulasi akibat penurunan harga
minyak dunia dan salah tanggap bahawa ekonomi Malaysia sangat bergantung kepada
hasil minyak. Ekonomi Malaysia dispekulasikan akan runtuh akibat penurunan
harga minyak dunia, sedangkan Malaysia telah mempelbagaikan sumber ekonomi dan
mengurangkan pergantungan kepada hasil minyak.
6.
Asas atau fundamental ekonomi Malaysia masih kukuh. Sepanjang tahun 2014,
sektor komoditi hanya menyumbang 15% kepada KDNK negara dan sektor perlombongan
menyumbang 8% daripada jumlah itu. 85% KDNK disumbangkan oleh sektor-sektor
lain seperti Pembinaan (4%), Pembuatan (25%) dan Perkhidmatan (55%).
7.
Dari segi jumlah pekerjaan, hanya 1% bergantung kepada sektor Perlombongan, 14%
dalam sektor komoditi lain dan 85% dalam sektor-sektor lain. Dari segi hasil
pendapatan negara, pada tahun 2009 hasil minyak menyumbang 41% dan
sumber-sumber lain 59%. Pada tahun 2014, hanya 30% disumbangkan oleh hasil
minyak, 70% oleh sumber-sumber lain. Dari segi pelaburan, 19% berada dalam
sektor perlombongan, 3% dalam komoditi lain dan baki 78% dalam sektor-sektor
lain. Dari segi eksport, hanya 23% terdiri daripada komoditi termasuk
minyak, 77% adalah barang-barang
pembuatan.
8. Bukan saja ekonomi negara dipelbagaikan,
tetapi negara sasaran eksport juga dipelbagaikan untuk mengelakkan pergantungan
dan mengurangkan risiko. Selain eksport ke ekonomi utama dunia seperti Jepun
(11%), Amerika Syarikat (8%), Kesatuan Eropah (9%), negara juga mengeksport ke
China (12%), ASEAN (11%), Negara-negara Newly Industrialised Economies (NIE's)
seperti Hong Kong, Taiwan dan Singapura (26%) dan negara-negara lain di dunia
(22%).
9.
Spekulasi, khabar angin dan berita buruk juga boleh menjejaskan nilai ringgit
kerana pengeluaran modal oleh pemilik asing dari pasaran bond dan sukuk
Malaysia. Ketika ini pasaran bond/sukuk Malaysia adalah yang paling besar di
Asia Tenggara dan ketiga terbesar di Asia. Pemilikan asing ke atas bond
kerajaan Malaysia pernah hampir mencecah 50% dan pengeluaran modal secara
besar-besaran boleh menjatuhkan nilai ringgit.
0.
Berbeza dengan agensi penarafan yang menilai keupayaan ekonomi dan kewangan
negara dari aspek fundamentalnya, pelabur-pelabur asing adakalanya keluar masuk
pasaran bond dan sukuk ini disebabkan faktor spekulasi, khabar angin dan berita
buruk.
11.
Ada ketika, nilai ringgit jatuh kerana risiko pengeluaran akibat pulangan yang
lebih tinggi ditawarkan oleh Perbendaharaan Amerika Syarikat. Ada ketika
disebabkan oleh agensi penarafan. Ada ketika kerana salah tanggap bahawa
ekonomi Malaysia sangat bergantung kepada minyak. Ada ketika akibat persepsi
dan khabar angin yang direka dan disebarkan.
12.
Persepsi dan khabar angin boleh menjejaskan keyakinan seperti demonstrasi
jalanan 1998 menjejaskan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia
yang ketika itu kelihatan tidak stabil dari segi politik.
13.
Hari ini, perkara yang hampir sama berulang apabila persepsi dan khabar angin
digunakan untuk menjejaskan keyakinan terhadap negara. Gambaran yang cuba
ditonjolkan adalah politik Malaysia sekarang tidak stabil, sedang bergolak dan
pemimpinnya tidak boleh diyakini disebabkan oleh isu 1MDB.
14. Agak
pelik bila akhbar-akhbar asing mula memainkan berita bahawa Perdana Menteri
sedang dijatuhkan, terlibat dengan pembunuhan Altantunya dan sedang berhadapan
dengan 'maut dalam senyap'. Tujuannya tidak lain untuk mewujudkan persepsi
bahawa politik di Malaysia sudah semakin tidak stabil.
15. Pada waktu yang sama khabar-khabar angin
mengenai 1MDB dimainkan secara berterusan dengan tujuan mengurangkan lagi
keyakinan terhadap pengurusan kewangan negara.
16.
Soal betul atau tidak khabar-khabar angin ini tidak penting kerana yang
diinginkan oleh penggeraknya adalah persepsi yang buruk terhadap pemimpin
negara. Pemimpin dibicarakan melalui media bukan oleh proses siasatan oleh
badan yang berautoriti.
17.
Bagi penggerak khabar angin ini, kenyataan Petrosaudi bahawa, "semua modal
yang dilaburkan oleh 1MDB telah dipulangkan dengan keuntungan" dan
kenyataan 1MDB bahawa "pelaburan dengan Petrosaudi memberi keuntungan USD
488 juta" tidak memberi makna. Bukan itu saja, perakuan-perakuan oleh syarikat
juruaudit Deloitte, salah satu daripada 4 syarikat juruaudit terbesar di dunia
juga tidak mempunyai makna.
18.
Malah walaupun Perdana Menteri berjanji untuk Ketua Audit Negara melakukan
audit forensik dan meminta Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menyiasat
akaun 1MDB juga tidak mungkin dapat memuaskan hati penggerak khabar angin ini.
Bukankah tujuan audit dan siasatan ini untuk mendapatkan kebenaran dan
kepastian atas semua dakwaan dan khabar-khabar angin ini?
19.
Apa yang penting bagi mereka adalah untuk menerus memainkan persepsi. Tun Daim
sendiri menyebutnya dengan begitu jelas, "there's nothing wrong with the
ringgit but people dont have faith in this country.."
20.
"Tiada masalah dengan ringgit sebenarnya," kata Tun Daim; "Tiada
masalah dengan fundamental", kata Gabenor Bank Negara. Habis tu masalahnya
apa? Masalahnya dengan khabar angin yang terus menerus digerakkan untuk
menghilangkan keyakinan terhadap kepimpinan negara. Dalam kenyataannya
menafikan dakwaan pembawa khabar angin, Petrosaudi menyebut, "Unfair or
false attacks on investors and partners of Malaysia only serve to damage the
country". Adakah ini satu bentuk sabotaj kepada ekonomi negara?-15/4/2015
TULISAN
ini kali pertama disiarkan di tunfaisal.blogspot.com
No comments :
Post a Comment