Megat Panjialam

. إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفّاً كَأَنَّهُم بُنيَانٌ مَّرْصُوص 61.4. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kokoh.

Thursday, June 6, 2013

Cadangan Gubal Undang-Undang Khas Kesalahan Derhaka Kepada Raja

\
KUALA LUMPUR: Bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah pada Khamis mencadangkan penggubalan undang-undang khas mengenai kesalahan menderhaka kepada Raja.

Beliau berkata meskipun pada masa ini sudah ada Akta Hasutan 1948 yang mengambil kira perbuatan-perbuatan seperti itu, namun ia merupakan perbuatan yang berbeza.

"Patut ada undang-undang khas digubal tentang apa-apa perbuatan yang terjumlah dan terangkum dalam kesalahan derhaka. Undang-undang ini sesuai kerana rakyat di beberapa lapisan tidak memahami sebenarnya kuasa Raja.

"Sudah tiba masanya bagi kerajaan menggubal undang-undang mengenai penderhakaan, bukan di bawah hasutan," katanya kepada pemberita di luar Seminar Institusi Raja anjuran Universiti Malaysia Perlis di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata undang-undang khas itu perlu menggariskan definisi derhaka dari sudut perbuatan, ucapan, sindiran, grafik dan lain-lain, serta mengenakan hukuman keras sekurang-kurangnya dua tahun penjara.

"Ini supaya rakyat tahu tiada maaf bagi mereka yang melakukan kesalahan derhaka," katanya.

Bagaimanapun, katanya, sebelum undang-undang itu digubal, masyarakat khususnya generasi muda perlu terlebih dahulu diberi pendedahan dan penjelasan tentang sistem Raja Berperlembagaan yang diguna pakai di negara ini.

Beliau berkata adalah tidak adil untuk mengambil tindakan kepada seseorang yang didapati melakukan kesalahan tanpa individu berkenaan diberi pendedahan yang secukupnya.

"Mengambil tindakan tanpa menjelaskan adalah menganiaya. Tetapi biarlah penjelasan itu dibuat oleh orang yang pakar dalam undang-undang. Jangan diserah kepada orang politik yang ada kepentingan. Takut nanti terpesong Perlembagaan mengikut kecenderungan politik mereka," tegasnya.

Tambahnya, undang-undang ialah peraturan hidup dan rakyat seharusnya mematuhi apa yang termaktub di dalamnya.

Terdahulu ketika membentangkan kertas kerja, Mohd Noor berkata hak kebebasan bersuara tidak membolehkan mana-mana individu mempersoal kuasa, hak dan keistimewaan Raja yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Malahan, sesiapa yang cuba mengapi-apikan penghapusan institusi Raja dalam Parlimen sekalipun boleh didakwa di mahkamah walaupun mereka kebal untuk membincangkan perkara-perkara lain di dalam Dewan," katanya.

Beliau menegaskan bahawa sistem Raja Berperlembagaan telah diterima pakai sejak merdeka.

Justeru, katanya, pemerintah negara yang sebenar ialah Raja manakala Kabinet hanya menjalankan tadbir urus atas nama Raja.

"Oleh itu, tidak timbul soal undi popular atau ingin menukar pemerintahan beraja kepada presiden," tegasnya.


Seminar dua hari bertemakan "Melestarikan Pemerintahan Beraja" itu buat julung kalinya dianjurkan sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan ke-70 Raja Perlis.


- BERNAMA


No comments :

DISCLAIMER

Blog ini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian blog ini. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Penulis tidak memaksa anda memasuki blog ini dan tidak akan bertanggungjawab jika ada yang tercedera atau tersinggung emosi, atau disaman jika melanggar akta mesin cetak dan lain-lain undang-undang yang berkaitan. Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.