Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Pengerusi
Eksekutif
Kumpulan Alibaba & Philanthropist, Jack Ma (kiri)
ketika
melawat ibu pejabat Alibaba
sempena
lawatan kerja beliau ke China hari ini. - Foto Bernama
BEIJING: Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) akan
memulakan operasinya pada awal Oktober ini, iaitu enam bulan selepas
dilancarkan dengan menggunakan platform e-dagang Alibaba iCloud.
Sebagai permulaan, sebanyak 1,500 syarikat
perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mempunyai produk sesuai akan dipilih
oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) Sdn Bhd untuk menyertai
dagangan rentas sempadan secara dalam talian itu.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak kepada wartawan Malaysia di sini sejurus tiba dari Hangzhou
yang menyaksikan beliau bertemu Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Alibaba Group,
Jack Ma serta mendengar taklimat berhubung operasi Alibaba, gergasi e-dagang
terbesar China.
Sebaik bermulanya operasi itu, DFTZ bakal menjadi
zon bebas digital pertama seumpamanya di luar China bagi merancakkan
pertumbuhan e-dagang rentas sempadan dengan mewujudkan akses kepada hab di
bandar Hangzhou untuk menembusi pasaran di China.
Perdana Menteri berkata, hab e-Penunaian serantau
itu akan diwujudkan di Malaysia pada Oktober ini dengan pihak Alibaba
menempatkan Alibaba iCloud untuk platform Data Raya bagi rantau Asia Tenggara.
Najib berkata beliau turut mempelawa Jack Ma yang
juga Penasihat Ekonomi Digital kepada Kerajaan Malaysia, untuk menghadiri
majlis pelancaran hab DFTZ berkenaan.
Perdana Menteri juga berkongsi reaksi Jack Ma yang
melahirkan rasa kagum terhadap kepantasan serta komitmen kerajaan Malaysia
dalam membuat keputusan bagi merealisasikan DFTZ.
Biarpun DFTZ baru dilancarkan tiga bulan lepas,
inisiatif tersebut sudah mula dibincangkan serta hanya mengambil masa enam
bulan untuk memulakan operasinya pada Oktober ini.
"Beliau (Jack Ma) amat positif terhadap
Malaysia dan sering mengulangi bahawa beliau mendapat persetujuan saya dalam
masa 10 minit mengenai DFTZ.
"Saya juga komited untuk menjadikannya satu
realiti dalam masa tiga bulan dan itulah yang telah kita lakukan,"
katanya.
Malah, Najib berkata, Jack Ma juga menyifatkan
kerajaan Malaysia sebagai "kerajaan yang amat cekap."
"Ini merupakan satu testimoni yang baik
membabitkan penilaian terhadap keupayaan kerajaan Malaysia yang amat responsif
serta mesra perniagaan," katanya.
Jelas Perdana Menteri, DFTZ dilancarkan dengan
pelbagai insentif bagi membantu pengusaha kecil mengembangkan pasaran produk
mereka terutama ke pasaran China.
Selain itu, ketika di Hangzhou, Najib turut
menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara MDEC dengan Pihak Berkuasa
Tempatan Hangzhou serta Alibaba (China) Company Limited melibatkan kerjasama
mengenai platform e-dagang sepertimana Platform Dagangan Elektronik Dunia
(eWTP).
Platform eWTP adalah cetusan idea Jack Ma dan
Alibaba untuk mengurangkan sekatan dagangan bagi memudahkan penglibatan PKS
dalam dagangan global.
Mengulas iCloud Alibaba, Najib berkata antara
lokasi yang dipertimbangkan bagi menempatkan kemudahan itu adalah di Cyberjaya.
"Potensi ( DFTZ) terlalu luas dan tiada
batasannya. Sebaik sahaja kerjasama ini dapat kita gerakkan, ada terlalu banyak
yang dapat kita manfaatkan menerusi Alibaba," katanya.
Perdana Menteri juga menyampaikan pensijilan
status Koridor Raya Multimedia (MSC) oleh pihak MDEC kepada Alibaba Cloud.
Beliau berkata, antara matlamat kerajaan
mewujudkan DFTZ adalah untuk memajukan PKS bagi mendapat perniagaan secara
dalam talian, khususnya ke China.
Menurut Perdana Menteri, peluang dagangan dengan
China amat besar dan syarikat-syarikat di Malaysia semakin mendapat banyak
permintaan termasuk usaha pengeksportan buah durian ke negara tembok besar itu.
Malah, hasil kerjasama dengan Alibaba juga dapat
merancakkan industri pelancongan negara bagi menarik lebih ramai pelancong dari
China.
"Pada tahun lepas misalnya, kita sudah
mencapai peningkatan ketara melebihi 21 peratus iaitu 2.1 juta pelancong dari
China dan bagi tahun ini, sasaran kita lebih kurang tiga juta pelancong China
ke Malaysia," katanya.
Najib berkata daripada angka tahun lepas itu,
lebih 200,000 tempahan untuk melawat Malaysia telah dibuat menerusi platform
Alibaba.
- BERNAMA
No comments :
Post a Comment