KUALA LUMPUR: Kira-kira 45,000 peluang pekerjaan
bakal diwujudkan menerusi pembinaan fasa ke-2 projek Landasan Kereta Api Pantai
Timur (ECRL), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Beliau menegaskan peluang pekerjaan ini harus
dibuka kepada rakyat Malaysia dan tidak mengambil jalan mudah dengan
menggunakan tenaga kerja asing.
“Bagi meningkatkan keupayaan rakyat Malaysia dalam
pembinaan dan pengurusan projek InfraRakyat (projek bertunjangkan kepentingan
rakyat) ECRL ini, 1 program latihan peningkatan kemahiran berkaitan pembinaan
dan pengurusan ECRL akan diperkenalkan dalam masa terdekat.
“Insya Allah, semoga ramai dapat menerima manfaat
dalam arus transformasi ini,” katanya dalam catatan blog di www.najibrazak.com
hari ini.
Terdahulu, hari ini, Najib menyaksikan majlis
menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara syarikat China
Communications Constructions Company Limited China (CCCC) dan Malaysia Railway
Link Sdn Bhd (MRL) bagi projek sambungan laluan kereta api dari Gombak ke
Pelabuhan Klang, membabitkan laluan sejauh 88km.
Perdana menteri berkata, perjanjian yang dimeterai
di Beijing itu adalah susulan kepada pengumuman pembinaan fasa 1 ECRL dari
Wakaf Bharu ke Gombak pada November 2016.
“Dengan itu, sukacita saya rumuskan inisiatif
kerajaan untuk membangunkan dan meningkatkan kesalinghubungan antara Lembah
Klang dengan Pantai Timur kini berada pada landasan tepat dan berjalan lancar,”
kata Najib.
Menurutnya, kerajaan akan terus memantau rapi
projek itu, selain melipatgandakan usaha agar ia dapat direalisasikan.
Najib berkata, beliau secara peribadi melihat
projek InfraRakyat ECRL itu membawa makna besar bukan sahaja kepada sektor
perdagangan, malah memudahkan pengangkutan dan pengalihan barangan di
Semenanjung Malaysia, sekaligus mengurangkan masa dan kos.
“Ia juga bakal memanfaatkan penduduk luar bandar
dari segi peluang perniagaan serta kemudahan perjalanan,” katanya.
No comments :
Post a Comment