Zhejiang
Geely, pengeluar automotif dari China dijangka akan memulakan bidaan seawal
minggu ini bagi mendapatkan tempat sebagai rakan strategik luar untuk Proton,
lapor Reuters. Perkara ini diberitahu kepada agensi berita berkenaan oleh
berberapa sumber dalaman yang mengikuti proses bidaan berkenaan.
Sumber
berkenaan turut memberitahu Geely bakal menawarkan Proton teknologi kenderaan terbaharunya
yang dibina bersama Volvo sebagai sebahagian tawaran tersebut.
Ini
termasuk teknologi yang digunakan untuk membina sedan GC9 dan SUV Boyue
keluaran jenama berkenaan, dan juga teknologi kenderaan kompak yang dibangunkan
bersama Volvo, jelas sumber tersebut. Tambah sumber itu lagi, dengan menawarkan
Proton berberapa teknologinya, Geely mensasarkan untuk menerjah masuk ke
pasaran kenderaan pemanduan sebelah kanan (RHD), menerusi Proton.
Kerjasama
yang signifikant bersama Proton ini bakal memberikan syarikat China tersebut
asas yang kukuh untuk masuk ke pasaran RHD global. “Sejumlah lapan juta
kenderaan RHD dijual di seluruh dunia setiap tahun. Geely tidak pernah menjual
walau seunit pun kereta RHD, jadi kereta Geely akan dijual di bawah Proton, jika
tidak Geely perlu membuat bayaran lesen yang besar,” jelas salah seorang sumber
berkenaan kepada Reuters.
Menurut
sumber berkenaan lagi, pelaburan dari Geely akan membantu Proton untuk
mengembangkan pasaran eksportnya dan mengambil semula bahagian pasarannya yang
hilang pada berberapa tahun kebelakangan ini. “Rancangan sepenuhnya pada
asasnya untuk melabur di dalam Proton bagi mengembalikannya pada tahap global
(untuk jualan) yang dicapai pada era 90’an,” tambah sumber itu lagi.
Walau
bagaimanapun tiada petunjuk tawaran yang bakal diberikan pada Geely – yang
menurut sumber tersebut ia merupakan bahagian terakhir untuk proses bidaan ini
– termasuk tawaran kepentingan di dalam Proton. Tambah mereka, Geely berminat
untuk mengambil sekurang-kurangnya 51% kepentingan Proton.
Reuters
seterusnya menghubungi DRB-Hicom namun menurut syarikat berkenaan tiada apa
perkara baharu yang boleh dinyatakan. “Kami sedang menilai bidaan yang
diterima. Tiada pendedahan akan diumumkan sehingga rakan strategik luar ini dipilih,”
ujar jurucakapnya. Sementara itu Geely turut enggan untuk mengulas spekulasi
ini.
Laporan
turut menyebut Geely dan PSA Groupe dari Perancis sedang mendahului bidaan
untuk menjadi rakan strategik Proton. Minggu lalu, DRB-Hicom sekali lagi
menegaskan mereka kini sedang menumpukan pada proses kritikal untuk mengenal
pasti rakan yang paling ideal untuk Proton.
Syarikat
berkenaan akan mengumumkan secara formal keputusan pencarian rakan strategik
ini – yang turut termasuk penyatuan kedua-dua kilang syarikat tersebut yang
terletak di Tanjung Malim, Perak dan Shah Alam, Selangor – pada penghujung
separuh pertama 2017, dan bakal dilengkapkan secepat mungkin.
Hari
ini juga kerajaan menafikan khabar angin bahawa Proton akan menjual 51%
sahamnya kepada rakan asing, serta menyatakan tidak akan masuk campur terhadap
urusan pemilihan rakan strategik ini kerana Proton kini bukan milik kerajaan,
tetapi DRB-Hicom.
Menteri
Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata
keputusan akhir masih lagi belum dicapai. “Kerajaan bukannya gadai hak negara
tetapi mencari peluang untuk membantu Proton membangun secara lebih cekap dan
setanding jenama besar dalam industri automobil dunia,” jelas Ong.
Sebelum
ini, kerajaan turut mengatakan pihak mereka tidak mempunyai masalah sekiranya
DRB-Hicom mahu menjual kepentingan di dalam Proton. Sementara itu, DRB-Hicom
sebelum ini mengatakan Proton akan kekal sebagai pembuat automotif nasional
negara, dan menegaskan mereka akan kekal sebagai pemegang ekuiti majoriti di
dalam Proton.
No comments :
Post a Comment