Laporan
sebelum ini menyebut Zhejiang Geely dijangka bakal memulakan bidaan untuk
tempat sebagai rakan strategik asing Proton, pada awal minggu ini. Proton
ketika ini sedang memberi fokus untuk memilih rakan strategiknya, dan ada
laporan mengatakan Geely kini sedang bersaing sengit dengan Groupe PSA (pemilik
Peugeot dan Citroen) untuk tempat tersebut.
Menurut
sumber yang rapat dengan proses tersebut, Geely bakal menawarkan Proton
teknologi kenderaan terbaharunya yang dibina bersama Volvo sebagai sebahagian
tawaran berkenaan. Ini termasuk teknologi yang digunakan untuk membina sedan
GC9 dan SUV Boyue keluaran jenama berkenaan, dan juga teknologi kenderaan
kompak yang dibangunkan bersama Volvo, dedah sumber berkenaan.
Teknologi
yang dimaksudkan berkemungkinan besar termasuk platform baharu Compact Modular
Architecture (CMA) yang dijadikan asas bagi pembinaan model siri-40 Volvo
seperti Volvo XC40 yang bakal diperkenalkan tahun ini, dan juga model-model
Geely yang lain. Platform baharu berkenaan direka bagi membolehkan unit
janakuasa elektrik dipadankan padanya, di mana unit janakuasa hibrid T5 Twin
Engine memang dibina khas untuknya.
Sumber
tersebut turut menambah, dengan menawarkan Proton berberapa teknologinya, Geely
mensasarkan untuk menerjah masuk ke pasaran kenderaan pemanduan sebelah kanan
(RHD), menerusi Proton. Kerjasama yang signifikant bersama Proton ini bakal
memberikan syarikat China tersebut asas yang kukuh untuk masuk ke pasaran RHD
global, yang setakat ini mereka belum lagi menjual walau sebuah model RHD
sedangkan pasaran global menunjukkan sejumlah lapan juta kenderaan RHD dijual
di seluruh dunia setiap tahun.
Jika
kerjasama Proton-Geely ini benar-benar terjadi, apakah teknologi yang bakal
Proton terima? Kami tampilkan apa yang Geely ada dalam barisan model mereka,
yang agak komprehensif, pada galeri di bawah.
Selain
dari GC9 dan Boyue yang dipetik sebagai model yang berkemungkinan, model baharu
seperti GL, GS dan juga Emgrand EC7 mungkin juga akan dipilih. Kami juga
tampilkan semua model yang ditawarkan oleh Geely pada laman sesawang versi
Bahasa Inggeris jenama berkenaan bagi memberikan gambaran penuh keseluruhan falsafah
pembinaan mereka.
Model
Boyue yang mula diperkenalkan akhir tahun lalu menampilkan rekaan agak berbeza
dengan model-model sebelumnya, melambangakan signatur rekaan terkini dari
jenama China berkenaan. SUV tersebut menampilkan pelbagai rekaan baharu hasil
bekas pereka Volvo, Peter Horbury yang kini mengetuai empat studio rekaan Geely
iaitu di Gothenburg (Sweden), Shanghai (China), Barcelona (Sepanyol), dan Los
Angeles (Amerika Syarikat), dioperasikan oleh sekitar 300 pereka.
Berdasarkan
gambar, bahagian dalaman Boyue ini cukup premium, dan kelengkapan yang
diberikan juga agak banyak seperti skrin infotaimen lapan-inci dengan fungsi
Apple CarPlay dan Android Auto, serta sistem keselamatan termasuk Amaran Keluar
Laluan dan adaptive cruise control (ACC).
Untuk
pasaran China, Boyue yang berdimensi 4.5 meter panjang ini diberikan dua
pilihan enjin. Varian asas menerima enjin 2.0 liter NA berkuasa 140 hp/178 Nm
dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan. Manakala untuk varian lebih
tinggi diberikan enjin 1.8 liter turbo suntikan bahan api terus (TGDI),
menawarkan dua pilihan kuasa, berdasarkan pilihan transmisi.
Enjin
4G18TD yang diiktiraf memenuhi spesifikasi Euro-5 dengan padanan kotak gear
manual, ditala bagi memberikan kuasa 160 hp/250 Nm. Manakala untuk versi
transmisi klac-berkembar automatik pula, enjin tersebut mampu menghasilkan
kuasa 181 hp/285 Nm. Kotak gear klac-berkembar enam-kelajuan berkenaan dibina
oleh Drivetrain System International (DSI), yang juga merupakan subsidiari
Geely dari Australia.
Pada
pasaran luar tertentu, Boyue ditawarkan dengan enjin NA 2.4 liter, menggantikan
enjin 1.8 liter TGDI. Kedua-dua enjin 1.8 TGDI dan 2.4 NA tersebut turut
menjana sedan GC9, yang diperkenalkan dua tahun lalu. Sedan berkenaan dikenali
sebagai Borui di China manakala untuk pasaran luar tertentu, ia dikenali
sebagai Emgrand GT.
Sedan
mewah dengan dimensi 4,596 mm panjang, 1,861 mm lebar dan 1,513 mm tinggi ini
turut hadir dengan versi flagship 3.5 liter. Kesemua enjin pada barisan model
GC9 dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan. Seperti juga Boyue,
GC9 dilihat begitu premium di dalam gambar, disertakan dengan lampu hadapan
LED, paparan Head-Up, sistem audio Infinity dengan 13-pembesar suara, kamera
360 darjah serta ACC.
Untuk
model lain iaitu sedan GL, SUV GS (ditawarkan dalam versi Elegant dan Sport)
dan Emgrand EC7 diberikan enjin NA 1.8 liter dan 1.5 liter, serta enjin 1.3
liter turbo baharu dari jenama China berkenaan.
Enjin
1.3 liter turbo tersebut diberikan berberapa talaan dengan kuasa bermula 127 hp
hingga 131 hp, manakala tork untuk kesemua versi kekal pada 185 Nm. Tiga
pilihan transmisi ditawarkan untuk enjin ini iaitu enam-kelajuan manual,
enam-kelajuan klac berkembar dan juga CVT.
Untuk
barisan model Emgrand, ia terdiri dari empat model. Manakala barisan standard
pula, Geely menghasilkan sembilan jenis model, kesemuanya dijana enjn NA 2.0
liter, 1.8 liter dan 1.5 liter.
Secara
keseluruhan, apa pendapat anda berkenaan model-model dari Geely ini? Adakah
Geely akan memasarkan sebahagiannya pada rantau ini dalam versi RHD sekiranya
kerjasama bersama Proton ini benar-benar berlaku? Kongsikan pendapat anda
bersama kami.
Sumber : paultan.org
No comments :
Post a Comment