Di sebalik usia tuanya, walaupun semeluat manapun terhadap kelakuan mahupun skandal-skandal lepasnya yang berjaya ditutup dengan baik hasil 'kerjasama' orang dan pemimpin UMNO-BN sendiri, kita seharusnya memuji dan mengkagumi semangat serta kesungguhan bekas Perdana Menteri keempat Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Pada ketika kebanyakan orang yang seusianya telah melupakan nikmat dunia dan bersiap sedia menghadapi hari-hari terakhir di muka dunia ini, Mahathir masih lagi utuh dan gagah ke sana ke mari untuk mengejar apa yang dikatakannya sebagai 'PERJUANGAN'.
Dari Langkawi, Kedah Utara sehinggalah ke Pekan, Pahang, Mahathir terus berkempen demi kelangsungan politik anak lelakinya, Mukhriz Mahathir di samping 'kebajikan' kroni-kroni serta proksi-proksinya yang terjejas teruk akibat penghapusan legasinya oleh Perdana Menteri sekarang, Najib Abdul Razak.
Pelbagai isu telah diutarakan oleh Mahathir. Bermula dengan 1MDB dan RM2.6 bilion yang disifatkannya sebagai 'Arab Gila yang menderma untuk Najib' sehinggalah ke ECRL dan pelabuhan di Kelang dan Kuantan. Isu yang paling kerap dizikirkannya adalah rasuah, kleptokrasi dan penyalahgunaan kuasa walaupun sebahagian besar daripada tuduhannya itu, merujuk kepada dirinya sendiri.
Sejarah Mahathir sebagai Perdana Menteri, tidaklah selancar seperti yang cuba digambarkan oleh para penyokongnya. Seawal tahun 1981 lagi, Mahathir terpaksa berhadapan dengan penentangan dalaman UMNO terutama daripada blok Naib Presiden yang lebih kanan sehinggalah kemuncaknya pada tahun 1987 apabila UMNO asal diharamkan, dan Mahathir mendaftarkan UMNO Baru dengan beberapa penambahan undang-undang termasuklah 'undi bonus' untuk Presiden parti yang mempertahankan jawatan tersebut daripada dicabar oleh orang lain. Tidak termasuk juga adalah penggunaan undang-undang pencegahan jenayah ke atas saingan-saingan politiknya.
Mujurlah Mahathir berkuasa pada zaman media sosial tidak wujud atau belum berevolusi seperti sekarang. Bagaimanapun, Mahathir terasa bahang tersebut pada tahun 1998 menerusi Geocities dan Tripod yang dibangunkan oleh para penyokong Anwar Ibrahim dan PAS sehinggakan beberapa kawasan yang pernah menjadi kubu kuat UMNO-BN, berjaya dirampas oleh parti-parti politik saingan menerusi kempen di Internet sahaja. Mahathir bagaimanapun pada PRU 1999, terselamat kerana 'perjanjian gelapnya' dengan Suqui dan Dong Zhong.
Kini, Mahathir terus melancarkan serangan. Cuma kali ini, Mahathir bertukar wajah menjadi serigala jadi-jadian apabila orang yang paling teruk dikecamnya dahulu - selain Allahyarham Nik Aziz dan Hadi Awang - kini menjadi sekutu rapatnya. Tidak hanya berceramah, bahkan Mahathir turut menulis memuji-muji DAP dan Lim Kit Siang, sekaligus mengingatkan kita kepada Munsyi Abdullah yang memberikan pujian dan pujaan besar kepada Stamford Raffles, supaya dia terus mendapat kerja walaupun pada masa yang sama, menyakiti orang Melayu yang dijajah dan mahu dijajah oleh Inggeris.
Mahathir berkempen agar Najib ditumbangkan. Memandangkan kempennya secara makro, kurang berjaya dan kurang mendapat sambutan berbanding kempen Anwar Ibrahim ketika mahu menumbangkannya dahulu atau kempen Tengku Razaleigh Hamzah ketika mahu menurunkan dia daripada jawatan yang disandangnya selama 22 tahun, Mahathir mengalih corak dan taktik. Berbanding berkempen secara makro yang menyaksikan, DAP dan PKR sendiri tidak senang duduk kerana disumbu dek para penyokong sendiri setelah berpuluh-puluh tahun Mahathir merupakan antara punca utama mereka wujud, Mahathir mengecilkan skop serangannya agar lebih tumpuan diberikan.
Dia berkempen di Pekan, menyeru agar para pengundi tidak mengundi Najib pada PRU akan datang. Katanya, selagi Najib berada di atas kerusi Perdana Menteri, selagi itulah masalah di negara ini tidak akan selesai, walaupun hakikatnya, Mahathir tidak dapat menjelaskan kesusahan apakah yang dialami oleh rakyat negara ini memandangkan ekonomi mikro Najib jauh lebih baik dan berkesan berbanding zaman pentadbirannya yang lebih menumpukan kepada ekonomi sekelompok atau segelintir. Apatah lagi rakyat Malaysia di bawah pentadbiran Najib mempunyai kuasa beli yang jauh lebih tinggi dan lebih besar berbanding ketika berada di bawah 22 tahun pentadbirannya.
Pada ketika yang sama, satu lagi legasi Mahathir iaitu Polisi Cabotage yang diperkenalkan Mahathir ketika dia merupakan Menteri Perdagangan dan Perindustrian dan Timbalan Perdana Menteri pada 1 Januari 1980, telah dimansuhkan oleh Najib Abdul Razak.
Polisi yang hanya membenarkan kapal-kapal milik syarikat Malaysia berurusniaga di pelabuhan-pelabuhan domestik dalam Malaysia dan kapal-kapal asing tidak boleh memunggah kargo-kargo mereka secara terus di pelabuhan-pelabuhan lain melainkan pelabuhan-pelabuhan tertentu seperti Pelabuhan Klang.
Sekaligus, ini bermakna kapal-kapal berkenaan tidak boleh menghantar kargo-kargo import ke Sabah secara terus sebaliknya perlu dipunggah di Pelabuhan Kelang dan kemudian kapal-kapal milik syarikat Malaysia akan menghantar kargo tersebut dari Pelabuhan Kelang ke Sabah dan Sarawak dengan tambahan kos.
Dua orang anak lelaki Mahathir terlibat dalam bidang perkapalan. Pada tahun 1998, dengan menggunakan wang Petronas dan Tabung Haji, Mahathir telah bail-out syarikat perkapalan anak lelakinya sekaligus menimbulkan kemarahan orang ramai yang membuat tunjuk perasaan di jalan-jalanraya di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur.
Polisi Cabotage yang diperkenalkan oleh Mahathir sebenarnya hanya memberi kebaikan kepada segelintir pihak dan pada masa yang sama menghalang persaingan selain mewujudkan monopoli di mana syarikat-syarikat perkapalan yang berpangkalan di Semenanjung seperti Konsortium Perkapalan yang dimiliki oleh DiPerdana Corp yang dimiliki oleh anak lelakinya, Mirzan (yang dibeli dari adik Vincent Tan, Danny), berjaya mengaut keuntungan berbilion ringgit.
Pada masa yang sama, rakyat dan penduduk di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan terpaksa membayar untuk setiap barangan dan perkhidmatan berbanding penduduk serta rakyat di Semenanjung.
Selepas Najib mengambilalih tampuk pentadbiran negara pada tahun 2009, Najib mula memperkenalkan liberasasi membabitkan banyak polisi serta legasi Mahathir, terutama sekali yang membabitkan sektor tenaga, sekaligus membangkitkan kemarahan Mahathir. Tahun 2009, Najib telah membenarkan kapal pengangkut antara pelabuhan-pelabuhan tertentu di Semenanjung dan Sabah Sarawak. Tahun 2012, sekali lagi Najib membuat perubahan apabila membenarkan pengecualian kepada kapal-kapal penumpang dan pesiaran.
Selepas Lebuhraya Pan-Borneo, IPP, meningkatkan kuasa autonomi kepada Sabah dan Sarawak dan terkini Cabotage, Najib telah mengenepikan legasi-legasi dan polisi-polisi Mahathir yang menindas sebahagian besar rakyat Malaysia terutama sekali di Malaysia Timur selama beberapa dekad.
Jadi, tidak hairanlah mengapa Mahathir terus kalut untuk menjatuhkan Najib Abdul Razak apabila tindakan Najib sekadar membuka pekung dan kurap panaunya yang tersembunyi selama lebih 40 tahun dan kemudian ditutup pula dengan gelaran Negarawan!
The.Saviour
No comments :
Post a Comment