Corak
pergerakan ombak di lautan dilihat tidak mustahil serpihan sayap MH370 hanyut
ke Pulau Reunion.
Menurut
bekas ketua juruterbang Malaysia Airlines (MAS), Kapten Datuk Nik Ahmad Huzlan Nik
Hussain, penemuan serpihan itu adalah bukti fizikal pertama pesawat tersebut
sebenarnya terhempas di Lautan Hindi seperti yang dijangka oleh pasukan
mencari.
"Ia
adalah bukti fizikal pertama dan jika dilihat daripada corak pergerakan ombak di
lautan, adalah tidak mustahil serpihan itu hanyut ke pulau itu," katanya.
Selepas
penantian hampir 17 bulan ke atas misteri paling besar industri penerbangan,
akhirnya ia boleh dikatakan MH370 disahkan terhempas di Lautan Hindi.
Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Razak awal pagi ini secara rasmi mengumumkan serpihan
sayap yang ditemui di Pulau Reunion adalah sah milik MH370
yang hilang dari radar pada tengah malam 8 Mac tahun lepas ketika dalam
perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 227 penumpang dan 12
anak kapal.
Namun
persoalan sekarang adalah apa yang berlaku selepas pengumuman ini?
Sementara
itu, kata Nik Ahmad lagi, selepas pengesahan serpihan itu adalah
sebahagian daripada pesawat tersebut,
pasukan siasatan harus membuat senarai inventori bahagian pesawat Boeing
777 itu yang mungkin boleh hanyut.
"Dengan
cara ini, pasukan siasatan pasti boleh mengenalpasti secara pantas jika ada
bahagian lain daripada pesawat itu yang ditemui penduduk pulau tersebut,"
katanya.
Nik
Ahmad berkata, pasukan itu juga harus membuat model objek hanyut bagi mencari
laluan kemungkinan serpihan lain di lautan berkenaan.
"Mereka
juga harus melakukan simulasi menggunakan komputer untuk cuba mencari lokasi
sebenar tempat ia terhempas di Lautan Hindi," katanya.
Mengulas
perkara sama, Prof Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian yang juga Ketua Kajian dan
Inovasi Universiti Kuala Lumpur, tugas utama sekarang adalah untuk mengesan
lebih banyak serpihan dan kemungkinan untuk itu adalah tinggi dengan penemuan
itu.
"Langkah
seterusnya pasti untuk menumpukan pencarian di sekitar Madagascar dan Afrika
kerana serpihan pesawat berkemungkinan besar hanyut ke sana.
"Selain
itu, lebih banyak ujian dan analisis perlu dibuat ke atas serpihan itu untuk
memastikan sama ada pesawat tersebut terhempas ke laut atau terlebih dahulu
meletup di udara," katanya.
Walaupun
pengumuman Najib itu membongkar banyak soalan yang tidak terjawab lebih
daripada setahun, ia tetap memberi cabaran yang lebih besar kepada penyiasat
yang terlibat dalam misi pencarian ini.
Menurut
Harridon, cabaran termasuk mencari keseluruhan pesawat yang mungkin terbenam di
dasar laut serta mengesan 239 mayat yang mungkin bertaburan pasti satu tugas
besar yang memerlukan kesungguhan daripada pasukan mencari.
"Ia
pasti sukar dan mencabar untuk pasukan mencari kerana untuk mengesan serpihan
adalah proses yang rumit kerana objek biasanya kecil," katanya.
Pesawat
itu hilang 120 batu nautika dari timur Kota Kinabalu di Laut China Selatan, dan
tiada isyarat kecemasan diberikan dari pesawat Boeing 777-200ER yang berlepas
dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 12.41 tengah
malam dan dijangka tiba di Beijing jam 6.30 pagi. - Bernam
1 comment :
Misteri yg lg besar ialah...per ke jadahnyer kpterbang tu ubah haluan k cner ...?
....
Post a Comment