Megat Panjialam

. إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفّاً كَأَنَّهُم بُنيَانٌ مَّرْصُوص 61.4. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kokoh.

Tuesday, September 10, 2013

Keputusan Rayuan Kes Kalimah Allah



Keputusan rayuan kalimah Allah pada Oktober

PUTRAJAYA 10 Sept - Mahkamah Rayuan hari ini menetapkan keputusan rayuan pihak kerajaan terhadap penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan Herald - The Catholic Weekly seawalnya pada Oktober.

Keputusan itu diambil oleh tiga panel hakim yang diketuai Datuk Seri Mohamed Apandi Ali yang bersidang bersama Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim dan Datuk Mohamad Zawawi Salleh yang mendengar rayuan pihak kerajaan hari ini.

"Keputusan tidak akan memakan masa ini mengambil kira keprihatinan rakyat terhadap isu ini. Keputusan dijangka diumum seawalnya pada Oktober. Tarikh akan diberitahu kelak," kata Mohamed Apandi sebaik mendengar hujah pihak kerajaan dan Herald.

Pihak kerajaan merayu berhubung keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Disember 2009 yang membenarkan Gereja Katolik menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam penerbitan Herald – The Catholic Weekly.

Kronologi pertikaian penggunaan kalimah Allah bermula pada pada 16 Februari 2009 apabila pihak Herald memfailkan semakan kehakiman berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan gereja itu serta menamakan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden.

Herald menuntut, antara lain satu deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri pada 7 Januari 2009 berhubung larangan penggunaan kalimah Allah dalam mingguan Katolik itu adalah tidak sah dan kalimah Allah bukanlah eksklusif kepada agama Islam.

Majalah mingguan Katolik yang dicetak dalam empat bahasa, menggunakan kalimah Allah sebagai terjemahan untuk God bagi seksyen bahasa Malaysia namun kerajaan berhujah bahawa kalimah Allah hanya boleh digunakan secara eksklusif oleh orang Islam sahaja.

Pada 31 Disember 2009, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Lau Bee Lan memerintahkan bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarang penerbitan akhbar mingguan The Herald itu daripada menggunakan kalimah Allah dalam majalah edisi bahasa Malaysia, adalah menyalahi undang-undang, batal dan tidak sah.

Pada 5 Januari 2010, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan Gereja Katolik menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam penerbitan Herald – The Catholic Weekly.

Pada Julai 2013 Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur memfailkan permohonan bagi membatalkan permohonan rayuan majlis agama Islam dan pihak kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh majalah mingguan Katolik The Herald

Pada 22 Ogos lalu Mahkamah Rayuan menolak permohonan berkenaan sekaligus membenarkan pihak majlis agama Islam dan kerajaan meneruskan rayuan.– UTUSAN ONLINE


No comments :

DISCLAIMER

Blog ini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian blog ini. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Penulis tidak memaksa anda memasuki blog ini dan tidak akan bertanggungjawab jika ada yang tercedera atau tersinggung emosi, atau disaman jika melanggar akta mesin cetak dan lain-lain undang-undang yang berkaitan. Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.