Kerajaan
tidak akan menyekat akses akaun laman sosial Facebook atau
laman-laman web yang lain kerana ia memberi banyak faedah kepada
masyarakat.
Menteri
Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata,
walaupun terdapat pihak yang menyalahgunakan laman web atau laman
sosial seperti Facebook untuk menyebar fitnah tetapi bukan semua
terbabit dengan perbuatan tidak bertanggungjawab itu.
"Menyekat
Facebook bukanlah satu pilihan yang baik. Ini kerana kita tahu ia
banyak membawa faedah berbanding penyalahgunaan yang dilakukan oleh
pihak yang tidak bertanggungjawab.
"Di
negara kita ada 16 juta pemilik akaun Facebook dan antara pemilik
akaun itu ialah pelajar berumur lapan tahun, dan mereka ini tidak
terlibat dalam penyalahgunaan media sosial seperti Facebook untuk
melemparkan fitnah atau tohmahan kepada pihak lain," katanya.
Ahmad
Shabery diminta mengulas mengenai desas-desus yang mendakwa kerajaan
akan mengikut jejak langkah negara lain yang menyekat akaun Facebook
kepada rakyat berikutan penyalahgunaan akaun berkenaan yang membawa
keburukan kepada masyarakat.
Mengulas
perkara itu, Ahmad Shabery berkata ibu bapa adalah pihak yang
bertanggungjawab menyemai dan mendidik anak-anak agar mereka dapat
menggunakan media sosial dan internet dengan bijak dan lebih
bertanggungjawab.
"Kita
kena pakat ramai-ramai tolak orang yang suka bercakap bohong dan
melemparkan tohmahan serta fitnah menerusi laman sosial...orang
seperti ini tidak ada integriti dan sentiasa akan diawasi pada masa
akan datang," katanya.
No comments :
Post a Comment