Sejak keputusan
Mahkamah Rayuan pada 14 oktober 2013 yang melarang penggunaan kalimah Allah
oleh majalah Kristian Katolik The Herald, isu ini kelihatan menjadi satu polemik
yang mengundang pelbagai komen di luar konteks keputusan tersebut.
Kita melihat
pelbagai liputan yang seolah-olah memberi gambaran bahawa penganut Kristian di
Malaysia dizalimi dan keputusan Mahkamah Rayuan itu tidak berasas. Keluarlah
dalam pelbagai media, kartun-kartun, karikatur, lawak jenaka dan pelbagai
anologi yang tidak munasabah. Amat malang juga apabila mereka yang terdiri
daripada golongan cerdik pandai turut sama mengeluarkan kenyataan yang di luar
konteks. Turut juga memberi komen dalam isu ini adalah tokoh-tokoh Islam luar
negara yang memberi kenyataan tanpa melihat isu sebenar dalam penghakiman
tersebut.
Penghakiman Mahkamah
Rayuan baru-baru ini bukan melarang orang kafir daripada menyebut kalimah
Allah. Sebutlah kalimah Allah dan cubalah untuk mengenali Allah dengan
sebenar-benarnya. Apa yang dilarang adalah penggunaan kalimah Allah oleh
majalah Kristian yang terang-terangan bertujuan untuk menyebarkan ajaran
Kristian kepada orang Melayu Islam. Penggunaan kalimah Allah adalah salah satu
cara untuk menunjukkan bahawa dakyah Kristian yang mereka bawa sebenarnya amat
dekat di hati umat Islam. Inilah strategi mereka yang disebut
“contextualization”.
Dalam gambar di
atas, Maryam digambarkan dengan gambaran yang menyerupai masyarakat setempat
yang menjadi sasaran dakyah kristian. Strategi contextualisation merupakan satu
pintu masuk, satu cara supaya dakyah mereka mudah diterima, dekat di hati
sasaran mereka, meggunakan pelbagai imej, istilah, nama dan perkataan yang
telah biasa didengari. Penggunaan nama Allah dalam The Herald adalah salah satu
manifestasi strategi ini, yang membuka pintu-pintu baru kepada dakyah mereka.
Bayangkan, orang Melayu Islam akan merasa janggal untuk hadir ke gereja atas
apa jua alasan, namun kejanggalan tersebut tidak akan lagi ketara sekiranya
gereja nanti disebut sebagai rumah Allah!
Aktivis yang
terpedaya
Sesetengah aktivis
dan para pendakwah Islam berpendapat bahawa penguatkuasaan larangan sebegini
akan hanya menjauhkan orang kafir daripada dakwah mereka. Mereka menggunakan
pelbagai istilah seperti tolak-ansur atau toleransi, mengurus perbezaan secara
berhikmah atau mengajak supaya isu ini ditangani dengan dialog dan tidak perlu
dibawa ke mahkamah.
Kita perlu meneliti
isu ini daripada awal, dan bukan hanya melihat keputusan ini sebagai
satu-satunya peristiwa. (sila rujuk kronologi isu ini di
sini->http://www.ismaweb.net/v4/2013/08/kronologi-penghakiman-isu-kalimah-allah/).
Pembohongan yang berlaku di pelbagai media sekarang cuba menenggelamkan fakta
bahawa kumpulan missionary Kristian inilah yang sebenarnya menggugat struktur
masyarakat sedia ada. Malaysia yang agama persekutuannya ialah Islam
sememangnya telah mempunyai peruntukan undang-undang yang mengawal penyebaran
agama lain di kalangan orang Islam. Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Dalam
Negeri menggunakan kuasa sedia ada dalam mengawal permit penerbitan akhbar dan
majalah untuk membendung dakyah kristianisasi yang cuba dilaksanakan oleh
majalah The Herald.
Akhirnya, setelah
melalui beberapa fasa amaran dan permit bersyarat daripada KDN, pihak Titular
Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur telah mencabar keputusan KDN di
mahkamah pada dalam tahun 2009. Sekali lagi, isu penyalahgunaan kalimah Allah
ini bukan dibawa ke mahkamah oleh orang Islam, tetapi dibawa ke mahkamah oleh
pihak missionary Kristian!
Dengan jelasnya
fakta ini, maka tidak sepatutnya sesetengah aktivis dan pendakwah Islam
menidakkan keputusan mahkamah dan berundur ke belakang, seolah-olah usaha
dialog dan perbincangan tidak pernah wujud. Kenapa setelah beberapa tahun isu
ini di mahkamah dan setelah keputusan berpihak kepada KDN, barulah pihak-pihak
ini beria-ria mengusulkan kepada penyelesaian berhikmah? Kita perlu menyedari
bahawa kita berada dalam suasana yang mana kita sedang menghadapi serangan.
Wajarkah setelah kita berjaya mempertahankan diri daripada serangan kali ini,
kita pula yang beria-ria untuk berlembut? Bukankah kita sepatutnya bersatu hati
dan cuba mempersiapkan diri sebelum menghadapi serangan seterusnya? Lebih patut
lagi sebenarnya untuk kita yang memulakan serangan, menutup segala pintu masuk
kepada ancaman yang dibawa oleh dakyah sesat ini, dan menyedarkan semua pihak
tentang bahaya yang menanti sekiranya kita terus dengan kelalaian dan tidak
sensitif dengan perancangan pihak yang mahu mengganggu gugat keamanan dan
keharmonian yang sedia wujud.
Amatlah janggal
orang yang cuma memburukkan imej agama Islam dengan komen-komen di luar
konteks. Isu sebenar di hadapan kita adalah agenda kristianisasi yang mengancam
umat dan bukannya menyekat orang-orang bukan Islam daripada mengenal Allah.
Berfatwa tanpa
mengenal realiti
Pelbagai media yang
ada juga secara jahat mengambil pandangan para ulama luar negara tanpa
penjelasan yang wajar. Saya percaya mana-mana tokoh ulama Islam akan menjawab
bahawa kalimah Allah bukan milik eksklusif umat Islam. Mereka juga akan
menjawab bahawa adalah sesuatu yang tidak wajar untuk menyekat orang bukan Islam
daripada menyebut nama Allah. Kedua-dua jawapan ini adalah respon yang benar,
bahkan saya juga mempersetujuinya. Namun perlu diingat sekali lagi, persoalan
sebenarnya yang patut ditimbulkan adalah adakah wajar mana-mana kerajaan negara
Islam membiarkan penyebaran agama lain dan pemurtadan umat Islam dibiarkan
berleluasa? Inilah isu yang sebenarnya. Saya percaya bahkan amat yakin bahawa
para ulama tersebut akan bersetuju bahawa mana-mana kerajaan umat Islam
mempunyai tanggungjawab untuk menutup mana-mana pintu kepada agenda memurtadkan
orang Islam bahkan golongan sebegini sepatutnya dihukum dengan sekeras-keras
hukuman.
Gadaian politik
Sebenarnya pihak
yang memusuhi agama Islam amat pandai mengeksploitasi segala kelemahan umat.
Kita dapat menilai daripada isu penyalahgunaan kalimah Allah ini, betapa umat
Islam begitu lemah dan terperangkap dalam kerangka politik sempit. PAS selaku
Parti Islam tidak sesekali akan menyokong apa yang dilakukan oleh pihak
kerajaan walaupun dalam isu sebesar ini. Walaupun terdapat segelintir kecil
ulamak PAS yang bersuara, namun suara mereka tenggelam oleh pendirian rasmi
Pakatan Rakyat dalam isu ini. Pihak kerajaan pula, walaupun berada di pihak
yang menang seakan-akan takut untuk mencanang kemenangan yang dicapai dan
memperkukuh mekanisme sedia ada untuk menyekat usaha memurtadkan umat Islam,
bahkan lebih malang lagi apabila beberapa menteri membuat kenyataan seolah-olah
memperkecilkan isu kalimah Allah ini, barangkali kerana tidak mahu menggugat
sokongan yang mereka sentiasa perolehi daripada Sabah dan Sarawak. Sampai
bilakah isu umat Islam akan terus menjadi barang gadaian yang sedia untuk
dipertaruhkan atas survival politik?
Baca seterusnya : di sini
No comments :
Post a Comment