Megat Panjialam

. إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفّاً كَأَنَّهُم بُنيَانٌ مَّرْصُوص 61.4. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kokoh.

Tuesday, October 29, 2013

Pemansuhan Subsidi Gula Perlu Diikuti Oleh Liberalisasi Pasaran



Keputusan kerajaan menghapuskan subsidi gula 34 sen sekilo dalam pembentangan Bajet 2014 merupakan satu langkah yang telah dijangka lebih awal. Kerajaan telah memberi isyarat  sejak beberapa tahun lalu bahawa subsidi gula tidak mungkin dapat diteruskan selama-lamanya. Sejak beberapa minggu lalu, tulisan-tulisan mengenai keperluan menghapuskan subsidi gula sudah mula berkumandang sama ada dari perspektif kesihatan mahu pun kewangan.

Langkah pemansuhan berkenaan membantu kerajaan menjimatkan perbelanjaan sebanyak RM64.02 juta bagi tahun ini dan RM551.25 juta pada 2014. Angka ini sangat besar kerana ia membolehkan kerajaan membina puluhan hospital mahu pun sekolah. Dalam masa yang sama ia diharapkan akan mengurangkan tabiat pengambilan gula secara berlebihan yang boleh memudaratkan kesihatan.

Walaupun subsidi telah dihapuskan para peniaga tidak boleh menaikkan harga gula sesuka hati melepasi RM2.84 sekilogram yang ditetapkan kerana ia masih dikategorikan sebagai barangan kawalan.

Seperti kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek, “Kerajaan membuat keputusan kurang popular tetapi memberikan keuntungan kepada rakyat.”

Seiring dengan langkah penghapusan subsidi, langkah pengawalan terhadap pengimpotan gula juga harus dihapuskan. Adalah tidak adil kerajaan menghapuskan subsidi tetapi tidak membuka ruang pasaran gula agar pengguna mempunyai banyak pilihan. Hari ini hanya ada beberapa pengimpot gula dibenarkan membawa masuk dan mengedar gula di Malaysia. Ini mudah difahami kerana kerajaan perlu mengawal industri yang disubsidi ini.

Namun sekarang kerajaan sewajarnya membuka ruang seluasnya kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk mengimpot gula. Apa yang kerajaan perlu lakukan ialah menentukan harga siling gula sebanyak RM 2.84 sekilogram. Jika ada syarikat berupaya menjual gula dengan harga yang lebih murah maka ia merupakan satu keuntungan kepada pengguna dan juga kerajaan.

Ada bermacam jenis gula dan pelbagai harga boleh memberi peluang kepada pengguna dan penjual membuat pilihan yang terbaik untuk mereka. Adalah tidak adil jika kerajaan masih mengehadkan pengimportan gula kepada beberapa syarikat sahaja atas alasan untuk melindungi industri gula tempatan.

Hakikatnya, Kerajaan tidak boleh menarik balik subsidi dan dalam masa yang sama masih mahu mengenakan kawalan bagi menjaga kepentingan orang lain, dalam kes industri gula tempatan.

Kadang-kadang penghapusan subsidi bukanlah sangat buruk jika kerajaan sedia mengubah sistem sedia ada. Jika kerajaan masih mahu mengekalkan sistem kawalam sedia ada, ia perlu memberi penjelasan kepada rakyat.

Baca Seterusnya : di sini

No comments :

DISCLAIMER

Blog ini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian blog ini. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Penulis tidak memaksa anda memasuki blog ini dan tidak akan bertanggungjawab jika ada yang tercedera atau tersinggung emosi, atau disaman jika melanggar akta mesin cetak dan lain-lain undang-undang yang berkaitan. Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.