Megat Panjialam

. إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفّاً كَأَنَّهُم بُنيَانٌ مَّرْصُوص 61.4. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kokoh.

Friday, October 11, 2013

TIGA PEROMPAK DITEMBAK MATI, EMAS RM1.8 JUTA DITEMUI SEMULA


Kejayaan terbaharu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan enam penjenayah berbahaya yang ditembak mati dalam tempoh 48 jam.

Polis juga berjaya menemukan tujuh dulang barang kemas bernilai lebih RM1.8 juta yang dilarikan penjenayah tersebut dari sebuah kedai emas berhampiran Pasar Raya Besar Mydin Meru Raya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.10 pagi itu, tiga penjenayah tersebut tumpas selepas berbalas tembakan dengan pasukan polis manakala seorang lagi sempat meloloskan diri ke dalam kawasan ladang kelapa sawit berhampiran.

Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kira-kira 15 minit sebelum kejadian itu, empat penjenayah berkenaan merompak kedai emas di bandar Meru Raya.

Sebaik mendapat maklumat pihak polis melancarkan gerakan memburu. "Semasa cuba menahan kereta tersebut di bulatan Meru Raya, suspek melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta polis dan terus memecut laju sebelum terbabas di persimpangan lampu isyarat di simpang tiga Meru Raya.

"Seorang suspek keluar dari kereta lalu melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan polis yang kemudian membalas tembakan dan berjaya menumpaskan tiga penjenayah manakala seorang lagi melarikan diri ke dalam kebun kelapa sawit," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Acryl Sani berkata, polis percaya penjenayah yang masih bebas itu tidak dapat lari jauh dan akan ditangkap dalam tempoh terdekat kerana dipercayai mengalami kecederaan di bahagian kaki sama ada akibat ditembak atau terseliuh semasa cuba melarikan diri.

"Polis telah mengepung kawasan tersebut dan memanggil Pasukan Gerakan Am untuk menjejaki penjenayah yang lolos itu. Orang ramai atau pengamal perubatan yang mendapati mana-mana lelaki berketurunan India cedera akibat tembakan diminta menghubungi balai polis berhampiran," katanya.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan yang dijalankan dalam kereta dinaiki penjenayah terbabit, polis menemukan sepucuk pistol jenama Star jenis Caliber 7.2mm, dua telefon bimbit, sebilah parang, dua topeng ski, tiga butir peluru .32mm, dua kelongsong peluru .32mm dan tujuh dulang barang kemas.

"Semasa menjejaki suspek yang melarikan diri, polis juga menemui sepucuk pistol jenis Smith & Wesson bersama tiga butir peluru Caliber 9mm di dalam kebun kelapa sawit tersebut yang dipercayai tercicir daripada suspek yang masih bebas," katanya.

Katanya, kenderaan dinaiki penjenayah berkenaan didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu dan dilaporkan hilang di Bayan Baru, Pulau Pinang pada 3 Oktober lalu.

Beliau turut mengucapkan syabas kepada pasukan polis atas kejayaan terbaharu itu selepas berjaya menembak mati tiga penjenayah di pekan Gerik pada 2 Oktober lalu.


No comments :

DISCLAIMER

Blog ini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian blog ini. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Penulis tidak memaksa anda memasuki blog ini dan tidak akan bertanggungjawab jika ada yang tercedera atau tersinggung emosi, atau disaman jika melanggar akta mesin cetak dan lain-lain undang-undang yang berkaitan. Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.