KUALA LUMPUR - [Kemaskini] Berikut adalah ucapan
Bajet Tahun 2014 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan
Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat hari ini:
“MEMPERTEGUH KETAHANAN EKONOMI, MEMPERKASA
TRANSFORMASI DAN MELAKSANA JANJI”
Tuan Yang di-Pertua,
Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang
bertajuk “Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang
Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2014 dan bagi memperuntukkan wang itu
untuk perkhidmatan bagi tahun itu” dibaca bagi kali kedua.
PENDAHULUAN
Tuan Yang di-Pertua,
Saya mulakan lafaz ucapan Bajet 2014 dengan
mengungkap kalimah suci Bismillahirrahmanirrahim. Dipetik dengan penuh iktibar
sepotong firman Allah Subhanahu Wa Taala dari Surah Al-Qasas, ayat ke-77,
mafhumnya:
“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah
dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat, dan
janganlah engkau melupakan bahagianmu daripada keperluan di dunia dan berbuat
baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu yakni di atas pemberian
nikmatNya yang melimpah-limpah”.
Para pujangga pula sering bermadah-madah, bahawa:
“Berpadu ialah satu permulaan, terus bersatu
merupakan kemajuan, manakala bekerja secara ganding-berganding, bahu-membahu,
itulah dia resepi kejayaan”.
Tuan Yang di-Pertua,
1. Seawal dan seafdalnya, marilah kita merafakkan
rasa syukur yang setulusnya ke hadrat Allah Subhanahu Wa Taala, kerana dengan
izin dan kurnia-Nya jua, saya dan para Ahli Yang Berhormat sekalian, dapat
berhimpun dalam Dewan Rakyat yang mulia ini, sebuah institusi simbol, serta
menjadi satu perlambangan demokrasi yang segar, di bumi Malaysia yang berdaulat
lagi merdeka.
2. Pertama-tamanya, saya, bagi pihak Kerajaan,
merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih serta penghargaan kepada rakyat
Malaysia, yang menyokong dan mendokong serta mewibawakan mandat ke atas Barisan
Nasional pada Pilihanraya Umum Ke-13 lalu untuk terus menerajui kepimpinan
negara.
Tuan Yang di-Pertua,
3. Ini membuktikan, biarpun kita berdepan dengan
pelbagai rintangan, walaupun dilontar dengan segala bentuk tohmahan, sekalipun
diasak dengan bermacam dugaan, namun Alhamdulillah, dengan kehendak Maha
Berkuasa jua, kepimpinan Transformatif Barisan Nasional, terus kental, terus
bertahan, terus teguh, sebagai parti pilihan rakyat bagi tempoh 5 tahun akan
datang.
4. Sememangnya pun, kita telah melalui satu
Pilihanraya Umum yang begitu mencabar dan penuh tantangan. Sekali apa jua, kita
boleh berbangga kerana, semuanya itu, dilalui dengan teratur menurut batas dan
lunas demokrasi, sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan
sehingga diberi gelar oleh kawan dan lawan sebagai ibu segala pilihanraya.
Tuan Yang di-Pertua,
5. Kerajaan amat sedar dan insaf di kala dunia
berdepan dengan risiko ketidaktentuan iklim politik dan ekonomi global, jika
kita tidak berwaspada dan berjaga-jaga tempiasnya boleh terpercik kepada kita.
Maka, kita amat bersyukur kerana negara ini tidak terjebak atau terseret dalam
kancah konflik dalaman yang boleh meranapkan negara bangsa.
6. Kita juga menghitung nikmat-Nya yang tidak
terhingga-hingga kerana negara ini terus dipancuri rahmat pabila tiada dilanda
malapetaka mahupun bencana alam melampau sepertimana yang berlaku di negara-negara
lain. Moga-moga kita senantiasa diperlindung olehNya jua.
TEKS PENUH DI SINI
No comments :
Post a Comment