SHAH ALAM: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tetap
mempertahankan penggunaan kalimah
Allah oleh bukan Muslim selagi ia tidak disalahgunakan.
Ujarnya mana-mana pihak tidak sepatutnya menghalang orang
bukan Islam kerana penggunaan kalimah itu telah bermula sejak zaman Nabi
Muhammad SAW lagi.
"Allah adalah perkataan yang memberi makna dia
sahaja Tuhan tak ada yang lain bagi orang Islam. Bagi penganut bukan Islam kita
tak boleh halang mereka menggunakan kalimah Allah di tempat mereka.
"Bahkan perjanjian Nabi Muhammad dengan orang bukan
Islam yang minta gunakan kalimah Allah dalam perjanjian (dan) dibenarkan tulis
dalam perjanjian," katanya ketika ditemui semasa sidang media selepas
Seminar Perlaksanaan Syariah Islam di Malaysia hari ini.
Bagaimanapun Hadi menegaskan umat Islam berhak mempertahankan
penggunaan kalimah Allah sekiranya orang bukan Islam sengaja menggunakan
kalimah itu dengan cara yang bercanggah dengan ajaran Islam.
"Konsep membenarkan kalimah Allah pada semua manusia
itu tak ada halangan namun sekiranya mereka nak menafsirkan dengan cara yang
salah kepada orang Islam, kita perlu jawab dan jelaskan. Kerajaan dan pihak
berkenaan kena jawab," kata Hadi.
"Sebabnya penggunaan kalimah Allah ini memberi makna
dia sahaja Tuhan yang disembah, undang-undang Dia sahaja yang dipakai. Kalau
sekiranya dia sebut Allah, (tapi) tak pakai undang-undang Allah itu pun tak
betul juga.
"Kita orang Islam boleh makan sembelihan Yahudi dan
Kristian kerana dia sebut kalimah Allah semasa sembelih dengan syarat dia
sembelih binatang yang kita boleh makan walaupun dia bukan Islam,"
katanya.
Isnin ini, Mahkamah Rayuan akan memutuskan permohonan
kerajaan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan
akhbar Kristian The Herald menggunakan kalimah Allah.
Keputusan yang dinanti-nanti itu menyusul lima minggu
setelah Mahkamah Rayuan mendengar hujah peguam badan-badan Islam dan peguambela
Persekutuan serta peguam Gereja Katolik yang menerbitkan The Herald.
Keputusan itu akan diumumkan oleh panel tiga hakim
diketuai oleh Datuk Seri Mohamed Apandi Ali (kini Hakim Mahkamah Persekutuan)
yang bersidang bersama Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim dan Datuk Mohd. Zawawi
Salleh.
Baca seterusnya : di sini
No comments :
Post a Comment