Megat Panjialam

. إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفّاً كَأَنَّهُم بُنيَانٌ مَّرْصُوص 61.4. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kokoh.

Monday, September 2, 2013

56 Tahun Merdeka: Malaysia Berkembang Pesat Berbanding Mesir

Rakyat Malaysia keturunan Melayu Mesir Salwa Jasman, 35, (tiga, kiri) bersama suami Mohamed Amin Abdul Rahman Mahmod (kiri) serta anak-anaknya (dari kanan) Jasmine, 11, Nourine, 10, Mohamed Yassine, 3, (dua, kiri) dan ibunya Afaf El Sayed Mohamed, 58, ketika ditemubual Bernama di rumahnya di Muhandiseen di Kaherah Mesir.


'Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik negeri sendiri.'

Begitulah perumpamaan yang sesuai dikaitkan kepada ramai rakyat Malaysia yang bermastautin di luar negara, apatah lagi buat mereka yang menetap bertahun-tahun lamanya di negeri orang.

Begitu juga bagi Salwa Jasman, 35 tahun yang menetap di Mesir sejak kecil, namun hampir setiap tahun pulang ke Malaysia.

"Kali terakhir saya ke balik Malaysia masa pilihan raya, walaupun suami saya orang Arab Mesir, tetapi dia galakan saya balik mengundi, ini kali pertama saya mengundi, sebelum ini tak daftar," katanya kepada Bernama ketika ditemu bual di rumahnya, di Muhandiseen berdekatan bangunan Kedutaan Malaysia di Mesir, baru-baru ini.

Anak kedua daripada enam beradik ini bekerja sebagai pegawai pembantu tadbir di Education Malaysia, Mesir bagi mengurus pelajar Malaysia di sana serta mempromosikan pendidikan Malaysia.

Ditanya mengenai perbandingan antara Mesir yang diisytihar merdeka pada tahun 1922 dan Malaysia pada tahun 1957, beliau berkata keadaan di Malaysia jauh lebih baik dan membangun.

Beliau yang membandingkan era ketika Tun Dr Mahathir Mohamad dan Hosni Mubarak menjadi Perdana Menteri negara masing-masing, berkata, Malaysia pada setiap masa berada pada tahap berbeza berbanding Mesir.

"Di Mesir, hal di sana sama sahaja, masa 2011 (Revolusi Mesir 25 Jan), kita memang seronok, kita rasa mungkin Mesir akan menjadi macam Malaysia, tetapi tak tahu lah keadaan tak aman sampai sekarang.

"Walaupun Mesir ini satu bangsa, pakaian sama makanan pun sama, cuma ada yang Kristian dan Muslim, kalau jalan pun tak tahu, ini Kristian atau Muslim, tapi mereka pun gaduh.

"Tak macam Malaysia ada tiga kaum utama, tetapi Alhamdulillah boleh hidup bersama tak ada masalah," katanya.

Salwa dan lima adiknya yang lain yang memegang kad pengenalan Malaysia merupakan anak-anak hasil perkahwinan campur Melayu Johor dari sebelah bapa dan Arab Mesir di sebelah ibu.

Beliau bersama dua orang lagi adik beradiknya fasih berbahasa Melayu walaupun tidak pernah diajar.

"Dalam rumah tak cakap Melayu tetapi adat dan makanan semua Melayu, sebab ayah memang nak belajar Arab sebab itu dia bertutur bahasa Arab setiap masa.

"Tetapi Alhamdulillah, masa saya di kedutaan waktu kerja, saya belajar dengan kawan-kawan dan pelajar sampai saya boleh bercakap, walaupun tidak lengkap, tetapi boleh faham, jawab dan berfungsi dalam kerja," katanya.

Salwa yang mendirikan rumah tangga dengan Mohamed Amin Abdul Rahman Mahmod mempunyai dua anak perempuan, Jasmine, 11 tahun dan Nourine, 10 tahun, serta seorang anak lelaki, Mohamed Yassine, 3 tahun yang masing-masing didaftarkan di Malaysia.

Selain keluarganya, Salwa berkata terdapat 75 lagi keluarga sepertinya dengan ibu bapa mereka berkahwin campur Malaysia dan Arab Mesir, berdaftar dengan Persatuan Islam Melayu Mesir.

"Masa kita kecil, kita tak terfikir nak buat persatuan, ini pasal ayah-ayah kami masih ada dan mereka ini masih lagi berhubung dan berkumpul, tetapi masa ayah saya meninggal (2008) dan begitu juga dengan keluar lain...kita macam dah putus hubungan dengan keluarga di Malaysia.

"Jadi kita tubuh persatuan ini...buat permulaan kita kumpulkan semua anak-anak Melayu Mesir yang menetap di Mesir, kita jaga dia punya masalah kebajikan, daftar anak mereka, tolong mereka yang ada masalah pasport, tolong mereka balik Malaysia dan hubungi keluarga mereka di sana (yang terputus hubungan), Alhamdulillah, kita dah tolong dua ke tiga keluarga setakat ini," katanya.

Salwa berkata, meskipun anak-anak perempuannnya masih kecil, namun mereka telahpun menunjukkan keinginan melanjutkan pelajaran ke Malaysia.

Jasmine dan Nourine, katanya akan memulakan pengajian bahasa Melayu di sekolah mereka dalam masa terdekat.

-- BERNAMA


No comments :

DISCLAIMER

Blog ini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian blog ini. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Penulis tidak memaksa anda memasuki blog ini dan tidak akan bertanggungjawab jika ada yang tercedera atau tersinggung emosi, atau disaman jika melanggar akta mesin cetak dan lain-lain undang-undang yang berkaitan. Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.