DHAKA,
19 Nov — Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina menafikan
pembabitan warga Bangladesh dalam proses demokrasi di Malaysia dan
menolak dakwaan pembangkang kononnya 40,000 warga Bangladesh mengundi
Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13.
Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata dalam pertemuannya dengan
Sheikh Hasina, pemimpin kerajaan negara Asia Selatan itu turut
menggeleng kepala tanda tidak percaya dengan dakwaan kononnya
rakyatnya terbabit dalam pengundian pada PRU-13.
Najib
berkata jika kononnya lawatan beliau ke Bangladesh dengan misi hendak
berjumpa dan berterima kasih kepada pengundi Bangladesh yang telah
mengundi BN dalam PRU lepas, ternyata misi beliau gagal kerana beliau
tidak berjumpa dengan seorang pun daripada pengundi yang didakwa itu.
“Nampaknya
misi yang kedua ini gagal kerana saya tidak dapat jumpa 40,000 orang
Bangladesh yang dikatakan telah mengundi Barisan Nasional,” katanya
secara sinis dalam sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Dua Hala
dengan kerajaan Bangladesh di sini.
Kata
Najib perdana menteri Bangladesh turut mempersoalkan dakwaan
berkenaan dan menyifatkan ia sebagai mustahil kerana untuk mengundi
di Malaysia, seseorang warga Bangladesh perlu menukar kerakyatan
mereka kepada warganegara Malaysia.
“Dia
kata memang tidak ada (tidak wujud) tindakan untuk kita (kerajaan
Malaysia) memberi 40,000 kewarganegaraan pada orang Bangladesh,”
kata Najib.
Pada
PRU-13, pakatan pembangkang mendakwa BN menggunakan 40,000 rakyat
Bangladesh untuk mengundi parti gabungan berkenaan.
Bagaimanapun,
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim ketika
menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Belanjawan 2014 peringkat
dasar di Dewan Rakyat menyelar dakwaan tersebut dan mendedahkan
bahawa dalam tempoh 10 tahun yang lepas, hanya 12 orang Bangladesh
yang telah mendapat kerakyatan dan menjadi warganegara Malaysia.
– BERNAMA
No comments :
Post a Comment