Megat Panjialam

. إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفّاً كَأَنَّهُم بُنيَانٌ مَّرْصُوص 61.4. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kokoh.

Friday, November 22, 2013

Laporan Ketua Audit: 39 Berdepan Tindakan Sivil Atau Jenayah




PUTRAJAYA: Sebanyak 39 penjawat awam termasuk pesara bakal berdepan tindakan sivil atau jenayah jika didapati bertanggungjawab terhadap ketidakaturan yang didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2012.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata mereka yang meliputi 30 penjawat awam dan sembilan pesara itu diberi surat tunjuk sebab untuk menjelaskan tahap penglibatan atau kecuaian mereka dalam ketidakaturan berkenaan.

Jika siasatan lanjut mendapati mereka terbabit, tindakan sivil atau jenayah akan diambil bergantung kepada jenis kecuaian atau perlanggaran yang dilakukan, katanya dalam sidang media, di sini Khamis.

Menurut Ali sebanyak tujuh penjawat awam lagi akan dikenakan tindakan tatatertib manakala sembilan didapati tidak terlibat dalam salah laku berkenaan.

Maklumat ini adalah hasil siasatan ke atas 24 kes yang dibuka dan disiasat oleh 13 jawatankuasa siasatan khas yang ditubuhkan sebelum ini, katanya.

Pembentukan jawatankuasa itu yang dipengerusikan oleh Ali diumum oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2014, bertujuan menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap salah laku penjawat awam susulan pelbagai teguran dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012.

Dalam laporan itu, sebanyak 319 teguran dibuat membabitkan 81 perkhidmatan awam persekutuan, 21 badan berkanun serta 217 peringkat kerajaan negeri.

Daripada jumlah itu, 94 teguran membabitkan penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, salah laku dan kecuaian dalam melaksanakan tugas.

Mengulas lanjut, Ali berkata susulan laporan itu juga sebanyak 12 kertas siasatan membabitkan projek dan perolehan di tujuh agensi dibuka oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Selain itu, semua ketua setiausaha kementerian dan setiausaha kerajaan negeri sudah diarah menubuhkan jawatankuasa siasatan dalaman bagi meneliti kes yang tidak disiasat oleh jawatankuasa siasatan khas.

Mereka diberi masa sebulan sehingga 30 November ini untuk menjalankan siasatan dan setakat semalam sebanyak 817 pegawai sudah disiasat, katanya.

“Sekiranya wujud asas kukuh bahawa pegawai didapati melakukan salah laku dan kecuaian, maka tindakan tatatertib/surcaj/ pertuduhan jenayah di mahkamah akan dikenakan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ali berkata sebanyak 100 skim perkhidmatan yang tidak terlibat dalam kajian tahun ini telah dikenal pasti untuk dikaji mulai awal tahun depan.

“Proses penambahbaikan skim perkhidmatan ini adalah berterusan untuk memastikan semua selesai menjelang pertengahan 2015,” katanya.


 

No comments :

DISCLAIMER

Blog ini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian blog ini. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Penulis tidak memaksa anda memasuki blog ini dan tidak akan bertanggungjawab jika ada yang tercedera atau tersinggung emosi, atau disaman jika melanggar akta mesin cetak dan lain-lain undang-undang yang berkaitan. Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.