KOTA KINABALU - Sebuah pesawat Twin Otter
MASwings mendarat di luar landasan di Kudat, 190km timur laut dari sini hari
ini, dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah melaporkan enam orang cedera, tiga
daripadanya parah.
Kenyataan jabatan itu menyebut 10 orang lagi
diberikan rawatan pesakit luar di Hospital Kudat selepas pesawat itu menjunam
di Kampung Sinsan pada 2.54 petang.
Malaysia Airlines (MAS), dalam kenyataan yang
dikeluarkan di Kuala Lumpur, mengesahkan bahawa Penerbangan MH3002 dari Kota
Kinabalu ke Kudat itu terbabit dalam nahas.
"Tiada kematian dilaporkan setakat
ini," menurut kenyataan itu.
Kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah
menjelaskan 11 anggota bomba bergegas ke tempat kejadian selepas dimaklumkan
tentang nahas itu.
Menurut jadual penerbangan MASwings dalam laman
webnya, terdapat satu penerbangan dari Kota Kinabalu pada 2.05 petang yang
dijadual tiba di Kudat kira-kira 40 minit kemudian.
Terdahulu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba
dan Penyelamat Sabah Mohd Affendy Ramin berkata di Kota Kinabalu pesawat itu
dinaiki 16 orang, dan menjunam di Kampung Sinsan, Kudat.
"Kesemua mereka berjaya dibawa keluar dari
pesawat dan dihantar ke Hospital Kudat untuk pemeriksaan perubatan," katanya
kepada Bernama.
Punca kemalangan itu masih disiasat, katanya.
Menurut kenyataan MAS: "Malaysia Airlines
akan terus memantau keadaan di lokasi kemalangan dan memaklumkan perkembangan
terkini."
Sementara itu Anggota Parlimen Kudat Datuk Abdul
Rahim Bakri mahu Jabatan Penerbangan Awam membuat siasatan segera berhubung
kejadian itu.
"Saya difahamkan kejadian berlaku akibat
angin kencang ketika pesawat itu mendarat dan tersasar dari landasan,"
katanya ketika dihubungi Bernama.
Abdul Rahim, yang juga Timbalan Menteri
Pertahanan, berkata Pejabat Parlimen Kudat akan mengambil langkah sewajarnya
untuk membantu mangsa terbabit. - Bernama
No comments :
Post a Comment