Megat Panjialam

. إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفّاً كَأَنَّهُم بُنيَانٌ مَّرْصُوص 61.4. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kokoh.

Sunday, August 18, 2013

100 Hari Pakatan Memerintah Selangor, Apa yang Baharu?

Pada pilihanraya Raya Umum ke-13, sejumlah dua juta pengundi di Selangor telah turun ke pusat-pusat  mengundi. Dua juta pengundi tesebut telah membuat keputusan pada pada PRU13 di Selangor pada 5 Mei 13. 

Semua telah mengetahui keputusannya. Ia tidak memihak kepada Barisan Nasional (BN), Sebaliknya puak pakatan yang berjaya membentuk kerajaan apabila memenangi 44 kerusi dengan pecahan 15 (PAS), 15 (DAP) dan 14 (PKR).

Pada PRU-13 Pakatan gagal mempertahankan kerusi Kota Damansara dan Bukit Malawati. Namun mereka berjaya menawan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua, Sabak, Taman Templer, Tanjung Sepat,  Paya Jeras, Sri Serdang, Kuala Kubu Baru, Sementa, Morib dan Sungai Pelek.

Selepas PRU13 selesai, Selangor muncul sebagai negeri yang paling lewat mengumumkan Menteri Besar. Ini disebabkan kelewatan pihak Pakatan mengemukakan senarai calon Menteri Besar kepada pihak Istana. Akhirnya hanya satu calon yang dikemukakan.

Calon tersebut ialah Tan Sri  Khalid Ibrahim yang pada PRU13  telah  berpindah dari kawasan panas iaitu DUN  Ijok ke kawasan lebih selamat di Pelabuhan Kelang. Walaupun terdapat pelbagai protes dalaman PKR termasuk pelbagai cadangan supaya Ahli Dewam Undangan Negeri (ADUN) dari Pas yang dilantik sebagai Menteri Besar, tetapi beliau  tetap dilantik semula sebagai Menteri Besar.

Pas dikatakan lebih berhak mendapat jawatan itu kerana mereka ada 15 wakil di DUN berbanding PKR hanya 14. Tetapi pelantikan semula Khalid telah mengketepikan semua rasional tersebut.

Dalam PKR sendiri, terdapat suara-suara yang tidak mahukan Khalid sebagai Menteri Besar.  Sebaliknya mereka mahukan Azmin Ali dilantik sebagai Menteri Besar kerana jawatannya dalam parti lebih kanan iaitu Timbalan Presiden.  Tetapi semua bantahan tersebut tidak memberikan sebarang bekas.

Sebaik sahaja Khalid dilantik ke jawatan tersebut, tindakan pertama beliau ialah menggugurkan dua exco lama daripada senarai exco kerajaan negeri yang baharu. Mereka yang digugurkan ialah  Yaakob Sapari (Kota Anggerik) dan Xavier Jayakumar (Seri Andalas).

Bagi pihak BN, proses  demokrasi dan pilihan yang dibuat oleh rakyat diterima dengan perasaan terbuka. Kegagalan BN untuk merampas semula Selangor diterima dengan lapang dada. Tidak seperti  kerajaan pakatan yang terus-terusan mempertikaikan keputusan PRU 13. Mereka memperkenal istilah `undi popular’ sebagai asas mempertikaikan keputusan  tersebut.

Dalam masa yang sama mereka mengetahui prinsip `First Past The Post’ dan perwakilan berdasarkan mengikut bahagian pilihanraya. Kemenangan calon ditentukan dengan berdasarkan  majoriti mudah.  Parti yang menang berdasarkan  majoriti kerusi pula (biarpun dengan satu kerusi) akan membentuk kerajaan.

Di Selangor, berdasarkan undi DUN, BN mendapat 693,956 undi 40%) berbanding Kerajaan Pakatan yang mendapat 1,050,665 undi (60%). Jika berdasarkan kepada  logik pakatan seperti yang selalu mereka hebahkan di ceramah-ceramah, sepatutnya BN  di Selangor mendapat 22 kerusi, bukannya 12 kerusi yang ada sekarang ini. Itu kiraan jika berdasarkan undi popular yang dicanang oleh pakatan.

Kini, sudah 100 hari Kerajaan Pakatan memerintah,  namun masih belum ada perkhabaran baharu atau gembira buat rakyat  Selangor. Terutama daripada perlaksanaan manifesto pakatan pada PRU 13. .

Rakyat masih tertunggu-tunggu untuk merasai hasil daripada perlaksanaan manifesto tersebut. Tetapi sepatutnya rakyat Selangor tidak perlu mengharap apa-apa daripada manifesto tersebut kerana awal-awal lagi sudah ditegaskan bahawa ia bukan satu janji. Maknanya, jika sudah bukan janji maka tentunya tiada jaminan perlaksanaan.

Sidang DUN Selangor  pula telah berakhir pada awal Julai yang lalu. Sidang itu menjadi kritikan awam apabila apabila Menteri Besar membentangkan enakmen perbelanjaan tambahan sebanyak RM761 juta. Tindakan ini dikritik kerana tanpa angin dan tanpa ribut, tiba-tiba kerajaan negeri membentangkan perbelanjaan tambahan. Jika diperhatikan suasana sekeliling, tiada malapetaka besar atau krisis ekonomi yang menuntut kepada satu perbelanjaan luar jangka.

Tindakan ini memberi gambaran bahawa Kerajaan Pakatan gagal merancang penggunaan wang wang secara berhemah dan bertanggungjawab. Apatah lagi, ini adalah mesyuarat pertama bagi penggal pertama persidangan DUN.

Sebahagian besar wang dalam perbelanjaan tambahan tersebut adalah sebagai pinjaman kepada Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) bagi tujuan pengambilalihan Kumpulan Hartanah Selangor Berhad. 

RM80 juta  diberikan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bagi mengambilalih tanah tanah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk membangunkan projek Datum In-City. Persoalannya  mengapakah entiti perniagaan tersebut tidak menggunakan sumber kewangan sendiri atau menggunakan intrumen pinjaman kewangan dalam membiayai urusan perniagaan mereka?

Mengapakah wang rakyat harus digunakan dalam menjalankan operasi perniagaan mereka? Sedangkan kedudukan kewangan syarikat-syarikat itu dikatakan dalam keadaan kukuh.

Rakyat juga tentunya akan terus mengingati 10 perkara dalam aku janji Khalid, yang antara kandungannya ialah memelihara prinsip rukun negara, kedaulatan  institusi raja, agama Islam,  kedudukan istimewa orang Melayu,  serta perpaduan kaum. Rakyat menanti dan mahu melihat sejauh mana ikrar dalam akaujanji itu akan dilaksanakan. Atau  itu semua sekadar janji-janji manis di tepi bibir yang tidak  akan kunjung tiba.

Bagi UMNO dan Barisan Nasional (BN) Selangor pula, para Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN) telah dan akan terus bekerja untuk membela dan mengambil hati rakyat.

Pelantikan Datuk Seri Noh Omar selaku Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor tentunya akan memberikan fokus kepada barisan pengurusan untuk terus bersedia bagi menghadapi PRU ke 14. Inilah masa untuk bersatu hati dan tindakan.


Nota: seperti yang dipaparkan dalam Utusan Malaysia 15/8/2013 ms 11


Baca seterusnya : di sini


No comments :

DISCLAIMER

Blog ini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian blog ini. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Penulis tidak memaksa anda memasuki blog ini dan tidak akan bertanggungjawab jika ada yang tercedera atau tersinggung emosi, atau disaman jika melanggar akta mesin cetak dan lain-lain undang-undang yang berkaitan. Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.