Megat Panjialam

. إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفّاً كَأَنَّهُم بُنيَانٌ مَّرْصُوص 61.4. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kokoh.

Sunday, December 8, 2013

Gempar mati lapar di Baling

Kami dah tak tahan!

YANG dicari ialah orang mati kebuluran di Baling tetapi yang di temui ialah lebih 20 orang pengganas komunis yang keluar dari hutan kerana mahu membantu orang Baling yang menderita kesempitan hidup akibat kejatuhan teruk harga getah pada akhir tahun 1974.
Cerita mati kebuluran itu telah menggemparkan negara berikutan dengan tunjuk perasaan pelajar-pelajar institusi pelajaran tinggi di Kuala Lumpur yang diketuai oleh Anwar Ibrahim dari ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia) diikuti dengan tunjuk perasaan penoreh-penoreh getah di Baling sendiri dihadapan Menteri Perusahaan Utama Datuk Musa Hitam.
Apabila seorang pensyarah Universiti Malaya Profesor Zainol Abidin Wahid turut percaya kepada cerita ini, maka Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu, Mazlan Nordin (Tan Sri) telah mengarahkan saya untuk ke Baling bagi menjalankan siasatan.
Di Baling saya mendapati bahwa bukan sahaja ramai orang mempercayai cerita ini tetapi pengganas komunis dalam hutan juga turut percaya sehingga mereka berani keluar dengan beruniform dan bersenjata untuk memberikan bantuan perubatan kepada orang kampung kerana mereka percaya orang kampung yang sedang menderita pasti akan menyambut mereka dengan baik.
Sebagai pemberita saya kira saya cukup bernasib baik pada hari itu kerana mendapat berita eksklusif di luar jangkaan, komunis keluar dari hutan tahun 1974 ketika negara berada dalam aman damai dan ketika orang ramai menyangka gerakan pengganas komunis telah tamat di Malaysia.
Sebelum saya ke Baling, pelajar- pelajar Universiti Malaya dan institusi pengajian tinggi lain telah mengadakan tunjuk perasaan secara haram di Padang Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru dan juga di kawasan Masjid Negara Kuala Lumpur bagi menyatakan simpati terhadap penoreh getah di Baling yang menghadapi kejatuhan harga getah. Mereka mendakwa ada penoreh yang mati kebuluran.
Polis terpaksa bertindak menahan kepala tunjuk perasaan itu, Anwar Ibrahim dan Idris Sanusi pada 14 Disember 1974 di bawah ISA.
"Bukan kerana dia pemimpin ABIM tetapi kerana menghasut pelajar- pelajar mengadakan demonstrasi haram," kata satu kenyataan polis.
Dalam tunjuk perasaan itu pelajar pelajar telah membaling batu dan memaki hamun polis sebagai anjing dan barua kerajaan.
Menteri Pelajaran ketika itu Dr. Mahathir Mohamad telah mencabar pemimpin-pemimpin pelajar supaya memberikan nama orang yang didakwa sebagai mati lapar dan Perdana Menteri Tun Abdul Razak mensifatkannya sebagai cerita dusta.
Setiba saya di Baling pada 17 Disember 1974, saya telah menemui Penolong Pegawai Daerah Baling Abdul Rahim Ahmad dan secara kebetulan apabila beliau membawa saya ke Rumah Rehat Baling untuk makan tengah hari, saya telah dapat berjumpa serentak semua orang yang ingin saya temui kerana mereka berada di situ iaitu Pegawai Polis Daerah Baling Raja Ahmad bin Raja Badiozaman dan tiga orang doktor dari Hospital Baling iaitu Penolong Pegawai Perubatan Dr. Tan Ah Hock, Dr. Muthusamy dan Dr. Indrani.
Ketiga tiga doktor itu menafikan adanya kes kematian kerana kelaparan seperti yang digemparkan oleh pelajar pelajar di Kuala Lumpur.
"Saya, Dr.Muthusamy dan Dr. Indrani tidak menemui kes begini sejak November lalu tetapi di kampung- kampung di sini memang rara rata orang miskin,"kata Dr. Ah Hock.
Beliau seterusnya memberitahu, "Untuk seseorang mati kebuluran akan mengambil masa beberapa bulan dan dalam proses menemui kematiannya dia hanya akan tinggal tulang dan kulit sahaja.
"Mustahil hal ini boleh berlaku di Malaysia, tidak mungkin jika seseorang itu berada dalam keadaan kebuluran tidak diketahui oleh jiran sebelah atau sekampung dengannya yang akan membantunya atau melaporkan kepada pihak berkuasa," kata Dr Ah Hock.
Bagaimanapun saya tidak berpuas hati dengan kenyataan ini dan saya telah meminta pertolongan Ketua Pemuda UMNO Baling masa itu Hussein Mohd Zain untuk membawa saya ke kawasan paling miskin di Baling untuk mencari mendapat bukti orang mati kebuluran dan juga untuk melihat sendiri penderitaan rakyat akibat penurunan harga getah ke paras paling rendah sehingga ke 15 sen sahaja sekati dari paras harga biasa antara 25 sen hingga 60 sen sekati.
Penoreh
Kehidupan para penoreh getah di sini benar benar tertekan kerana harga barangan keperluan meningkat dan harga sekati getah turun hingga kepingkat lebih rendah dari harga sekati gula iaitu 25 sen (sekati getah 15 sen).
Maka apabila pelajar-pelajar dari Kuala Lumpur masuk ke kampung kampung di Baling dan ke daerah yang berhampiran Sik dan Jeniang menghasut penduduk melancarkan "mogok lapar" bagi membantah penurunan harga getah, secara sepontan lebih 10,000 orang telah keluar berhimpun di hadapan Pejabat Daerah Baling yang berhampiran dengan Masjid Baling sempena kedatangan Menteri Perusahaan Utama Musa Hitam yang diutuskan khas oleh Tun Abdul Razak bagi menyelesaikan masalah penurunan harga getah itu.
Mereka mengadakan tunjuk perasaan hingga merempuh pintu pagar Pejabat Daerah Baling dan menurunkan bendera negeri Kedah dari tiang bendera di hadapan pejabat itu dan menaikan seberkas ubi kayu yang diikat pada tali bendera. Sesetengah mereka membawa parang dan cangkul.
Dua orang yang turut serta dalam tunjuk perasaan itu ketika usia mereka masih muda telah menceritakan semula pengalaman mereka apabila saya temui di Baling baru baru ini. Mereka ialah Roslan Ahmad dan Pegawai Jasa Baling (Jabatan Hal Ehwal Khas) Haji Mohd Othman Mohd Noor.
"Ketibaan Musa dengan helikopter telah mereka sambut dengan jeritan Musang Hitam! Musang Hitam!." kata Roslan.
Beberapa orang penunjuk perasaan yang membawa parang dan cangkul telah ditahan oleh polis.
Setibanya dengan helikopter di kawasan tunjuk perasaan itu, Musa telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar, Pegawai Daerah, pegawai pegawai kerajaan,penghulu dan juga pegawai polis.
Musa tidak mempedulikan nasihat mereka supaya jangan bertemu dengan penunjuk perasaan sebaliknya beliau berjalan seorang diri ke arah orang ramai tanpa diiringi oleh polis sambil mengangkat tangan kepada mereka. Ini menyebabkan teriakan "musang hitam" semakin kendur.
Musa berjaya menenangkan suasana dan menyuraikan tunjuk perasaan itu apabila dalam ucapannya beliau menyampaikan jaminan Tun Abdul Razak bahawa harga getah akan dinaikan serta merta.
Disamping itu beliau juga memberitahu penunjuk perasaan yang ditahan akan dibebaskan segera dan kenderaan akan disediakan bagi menghantar pulang penunjuk-penunjuk perasaan yang telah berjalan kaki begitu jauh untuk menyertai perhimpunan di Baling, antara mereka ialah penoreh getah dari Sik dan Jeniang.
Saya meninjau ke Baling selepas peristiwa tunjuk perasaan itu.Cerita kesusahan hidup yang saya dengar di Kampung Weng Dalam dan juga di Kampung Tanjong Pari amat menyedihkan. Penoreh-penoreh getah di kampung ini turun rumah pada pukul lima pagi untuk menoreh hingga pukul 11 pagi dengan hanya mendapat kira kira lima puluh sen sahaja sehari.
Mereka terpaksa membuat kerja-kerja lain untuk menambahkan pendapatan tetapi peluang kerja sangat terbatas masa itu kecuali memancing ikan,mencari kayu api atau mengutip akhbar lama dan botol untuk dijual. Ada juga yang bercucuk tanam di tanah pinggiran sungai tetapi tidak mendatangkan hasil segera.
Saya mendengar cerita anak anak yang dipukul oleh tuan tanah kerana mencuri rambutan di kebun mereka untuk dimakan kerana kelaparan.
Beberapa orang di Kampung Pari berjalan kaki empat lima jam untuk masuk ke hutan mencari bijih yang mendatangkan hasil hanya antara RM 50 hingga RM 60 sahaja untuk hidup beberapa hari dan kemudian masuk ke hutan lagi.
Penolong Pegawai Daerah Baling Abdul Rahim Ahmad memberitahu, kesempitan hidup menyebabkan orang kampung menjadi lebih rajin, berkerja keras dan lebih kreatif.
Dia bertanya kepada saya, "Apakah orang Melayu malas sekiranya mereka sanggup menunggu berjam-jam memancing untuk mendapat seekor ikan. Yang perlu ialah mereka disalurkan kepada kerja yang lebih produktif."
Meninjau
Saya telah meninjau hampir seluruh kawasan paling miskin termasuk mereka yang tidak bertanah yang tinggal di kawasan tanah pinggir tepi sungai menuju ke Tanjong Pari tetapi tidak juga menemui orang mati kebuluran sebaliknya saya diberitahu oleh Hussein Mohd Zain yang memandu saya bahawa pengganas komunis telah keluar di Batu 8 Weng baru-baru ini.
Hussein bercerita hal ini secara bersahaja tetapi bagi saya ini adalah suatu berita besar yang memerlukan pengesahan segera dan ada kena mengena dengan kemiskinan di Baling.
Ketika negara berada dalam keadaan aman damai setelah lebih sepuluh tahun darurat diisytiharkan tamat maka kehadiran pengganas komunis di tengah-tengah masyarakat kampung adalah luar biasa.
Saya seperti tidak percaya terus bertanya kepada Hussein, benarkah? Benar, katanya dan membawa saya menemui sendiri salah seorang dari orang kampung di Batu 8 Weng yang turut dalam pertemuan dengan pengganas komunis itu.
Berita ini seterusnya telah disahkan oleh Pegawai Polis Daerah Baling, Raja Ahmad Raja Badiozaman yang agak terkejut kerana saya telah mengetahuinya. "Di mana saudara tahu," tanya beliau ketika saya datang ke rumahnya lewat petang untuk mendapatkan pengesahan.
"Orang kampung di Weng beritahu," kata saya. Beliau menjemput saya naik ke rumahnya, menjamu laksa dan mengesahkannya.
Menurut beliau lebih 20 orang pengganas komunis telah keluar dari hutan dengan beruniform dan bersenjata, membawa kamera, alat perakam dan memberikan ubat-ubatan kepada orang kampung. Ini menjadi berita eksklusif Utusan Melayu yang menggemparkan tanah air.
Kira-kira 18 tahun sebelum itu Baling telah mencatitkan sejarah apabila Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng dan dua orang kanannya Rashid Maidin dan Chen Tien telah keluar dari hutan untuk mengadakan rundingan bagi mencari perdamaian dengan Ketua Menteri Malaya Tunku Abdul Rahman Putra tetapi perundingan itu gagal.
Nyatalah kebijaksanaan pemimpin-pemimpin pelajar mengekploitasi cerita mati kebuluran itu tidak sahaja menyakinkan rakyat biasa tetapi sampai kepada pengganas komunis yang masih berjuang di dalam hutan. Tetapi saya dimaklumkan oleh penduduk penduduk setempat bahawa pada masa itu ramai ejen- ejen komunis yang tinggal dalam bandar Baling.
Keadaan kemiskinan di Baling masa itu telah diburukkan lagi oleh kerana pegawai- pegawai kerajaan dan agensi agensi kerajaan yang bertanggungjawab tidak berperanan dengan berkesan untuk mengubah system sosial di kalangan masyarakat setempat dan tidak sensitif kepada keadaan sekitar yang memerlukan perhatian dan tindakan segera.
Saya mencatatkan dalam siri tinjauan saya yang disiarkan oleh selama tiga hari berturut-turut dari 5 hingga 7 Januari 1975 bahawa, "Keyakinan terhadap sesuatu kerja hanya dapat ditanam di kalangan orang kampung sekiranya mereka telah melihat hasilnya. Jika tidak mereka akan kembali kepada cara hidup tradisi.
"Saya sama sekali tidak melihat keadaan kemiskinan di Baling dengan perasaan putus asa dan kecewa kerana saya menyedari akan kesanggupan besar yang ada pada negara baik dari segi kewangan, tenaga dan jentera kerajaan sendiri untuk mengatasinya."
Baling sekarang bukan lagi merupakan daerah termiskin di negeri Kedah sebaliknya telah banyak berubah menjadi sebuah daerah yang pesat membangun , penuh dengan bangunan-bangunan baru, pejabat kerajaan dan kedai perniagaan yang beraneka dengan persekitarannya yang indah. Ia juga terkenal dengan tempat percutian air panas Ulu Legong.
Bagaimanapun yang tetap tidak berubah ialah bekas pemimpin pelajar yang memimpin tunjuk perasaan pelajar lebih 30 tahun dahulu. Walaupun realiti negara telah berubah, kerajaan telah menukarkan anak petani nelayan dan orang kampung menjadi orang terpelajar, profesional, ahli perniagaan dan sebagainya tetapi dia masih berada di jalan-jalan raya untuk kerja yang sama dengan menggunakan pelbagai isu rakyat yang real, rekaan dan juga imiginasi.
Beliau memang mempunyai kepakaran dan kecekapan mengeksploitasi isu yang kecil menjadi besar, yang hitam menjadi putih , kekarutan menjadi kebenaran malah berjaya menutup kehinaan dan dosa dari satu pementasan ke satu pementasan.


Credit Arkib Utusan

No comments :

DISCLAIMER

Blog ini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian blog ini. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Penulis tidak memaksa anda memasuki blog ini dan tidak akan bertanggungjawab jika ada yang tercedera atau tersinggung emosi, atau disaman jika melanggar akta mesin cetak dan lain-lain undang-undang yang berkaitan. Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.