Megat Panjialam

. إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفّاً كَأَنَّهُم بُنيَانٌ مَّرْصُوص 61.4. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kokoh.

Monday, May 6, 2013

50 pengguna lebuh raya terselamat nahas 9 kenderaan

KEADAAN sebuah kereta Honda Jazz dihempap sebuah Bas Express KKKL yang terlibat dalam 
kemalangan di KM 202.4 Lebuh Raya Utara Selatan menghala ke Johor 
tidak jauh dari plaza Tol Ayer Keroh, Melaka, semalam. - UTUSAN/Gaie Uchel


ALOR GAJAH 5 Mei - Lebih 50 pengguna lebuh raya membabitkan 47 penumpang dari dua buah bas ekspres terselamat dalam dua nahas melibatkan sembilan buah kereta di Kilometer 202.3 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan petang ini.

Kejadian bermula kira-kira pukul 2.45 petang selepas sebuah kereta Perodua Myvi dipandu Rashid Mohd. Hashim, 28, menekan brek secara tiba-tiba bagi mengelak merempuh sebuah kereta di hadapannya.

Berikutan itu, belakang Perodua Myvi berkenaan dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Naza Citra disusuli rempuhan berturut-turut dari belakang membabitkan Proton Waja, Pesona dan Toyota Vios.

Pada masa sama, sebuah bas ekspres dipandu Buyong Andak, 50, dari Kuala Lumpur ke Melaka bersama 27 penumpang gagal mengelak lalu merempuh kelima-lima buah kenderaan tersebut.

Menurut jurucakap polis, bas itu kemudian terbabas masuk ke lorong tengah dan terseret sebelum terhenti di lorong kecemasan.

"Kejadian tersebut menyebabkan kesemua penumpang menjerit ketakutan namun mereka selamat meskipun ada beberapa penumpang yang cedera ringan," katanya di sini, hari ini.

Dalam pada itu, sebuah lagi bas ekspres yang dipandu Mohd. Anuar Othman, 58, dari Terminal Bandar Selatan ke Melaka Sentral cuba mengelak kemalangan di hadapan sebelum turut terbabit kemalangan.

Mohd. Anuar mendakwa, ketika berada di lorong tengah dia melihat kemalangan di hadapannya dalam jarak 100 meter membabitkan sebuah bas ekspres dan lima buah kenderaan pelbagai jenis sebelum bas dipandu hilang kawalan.

"Saya cuba kawal bas supaya tidak rempuh deretan enam kenderaan terbabit, tiba-tiba semasa saya memaut stereng bas untuk masuk ke lorong kiri bas terus berpusing dan terbalik ke sebelah kanan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Azhar Hasan berkata, pihaknya menerima panggilan dari orang awam pada pukul 2.57 petang dan bergegas ke tempat kejadian.

Katanya, seramai 22 anggota membabitkan tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh dan Alor Gajah ke tempat kejadian mendapati kesemua mangsa dari dua lokasi terbabit sudah keluar ke tebing lebuh raya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Supritendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Artikel dari: Utusan

No comments :

DISCLAIMER

Blog ini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian blog ini. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Penulis tidak memaksa anda memasuki blog ini dan tidak akan bertanggungjawab jika ada yang tercedera atau tersinggung emosi, atau disaman jika melanggar akta mesin cetak dan lain-lain undang-undang yang berkaitan. Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.